Wednesday, June 16, 2010

Barcelona haramkan pemakaian burqa, niqab


MADRID 15 Jun - Barcelona semalam muncul sebagai bandar raya pertama dihuni majoriti penganut Katolik di Sepanyol yang mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di bangunan-bangunan awam seperti pasar dan perpustakaan.
Pemakaian burqa dan niqab turut diharamkan di semua lokasi awam di bandar-bandar kecil Lerida dan El Vendrell, wilayah Barcelona.
"Barcelona mengharamkan pemakaian burqa, niqab dan semua jenis pakaian yang menghalang identiti seseorang dikenal pasti di mana-mana tempat awam bandar raya ini," jelas satu kenyataan yang dikeluarkan kerajaan tempatan Barcelona.
Kabinet Perancis bulan lalu meluluskan satu rang undang-undang untuk mengharamkan pemakaian niqab dan burqa di tempat awam, dan Dewan Perwakilan Belgium telah mengundi untuk menyokong pengharaman burqa yang mencetuskan reaksi hebat dan perdebatan hangat di seluruh Eropah.
Datuk Bandar Barcelona Jordi Hereu membantah pengharaman burqa dan niqab di semua lokasi awam di bandar kedua terbesar Sepanyol itu kerana beranggapan ia di luar bidang kuasa kerajaan tempatan.
Ia disanggah oleh anggota Dewan Bandar Raya Barcelona dari Parti Popular (PP), Alberto Fernandez yang berkata, pemakaian burqa dan niqab menjejaskan maruah dan kebebasan wanita.
"Kritikan Datuk Bandar itu adalah satu tindakan yang tidak menyeluruh kerana apabila kita menetapkan untuk mengharamkan pemakaian burqa di bangunan-bangunan kerajaan, ia juga perlu diharamkan di jalan-jalan raya," katanya.
Pengharaman pakaian tersebut dijangka dikuatkuasakan selepas musim panas ini.
Sepanyol pernah diperintah kerajaan Islam Andalusia dari kurun kelapan hingga ke-15 dan mempunyai kira-kira 1.4 juta penganut Islam pada 2009 iaitu kira-kira 3 peratus dari keseluruhan penduduk.
Dalam satu kontroversi baru-baru ini, seorang pelajar di Madrid terpaksa berpindah sekolah setelah enggan menanggalkan tudungnya apabila institut di mana dia belajar mengharamkan pemakaian tudung. - Reuters

No comments:

Post a Comment