Wednesday, June 16, 2010

Wali nikah tipu jantina

Status jantina wali nikah disahkan perempuan

KUALA LUMPUR 15 Jun - Seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa wali dalam perkahwinan seorang wanita mualaf pada enam tahun lalu, sebenarnya adalah perempuan.
Abdul Malek Yaakub berkata, berdasarkan rekod JPN terkini, status jantina wali tersebut, Nawi Anak Ilai yang mempunyai kad pengenalan bernombor 760309-13-5002, merupakan seorang perempuan.
Menurut Abdul Malek lagi, mengikut kad pengenalan tersebut, Nawi yang beralamat di Rumah Salang, Kapit, Sarawak adalah berketurunan Iban.
Ketika disoal oleh Hakim Syarie Mohd. Yunus Muhammad Zin, mengenai status agama Nawi, Abdul Malek menyatakan, dia tidak mendaftarkan status agamanya kepada JPN selepas dia memeluk agama Islam.
Dalam keterangannya, Abdul Malek turut mengemukakan dokumen-dokumen dari JPN seperti salinan kad pengenalan dan sijil kelahiran Nawi.
Abdul Malek berkata demikian pada perbicaraan kes pembubaran perkahwinan yang dikemukakan oleh Nurul Farhana Azrin Jamas Abdullah kerana mendakwa pernikahannya dengan Ahmad Salim Moideen berwalikan kakaknya itu yang menyamar sebagai lelaki.
Nurul Farhana sebagai plaintif dan Ahmad Salim selaku defendan, masing-masing berusia 30 tahun tidak hadir pada perbicaraan hari ini.
Nurul Farhana yang berasal dari Kapit, Sarawak, pada asalnya beragama Kristian Katolik sebelum memeluk Islam pada 1997.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 April lalu, Nurul Farhana mendakwa, nama Nawi yang menyamar sebagai wali untuk sijil perkahwinan mereka dicatat sebagai Mohd. Amirul Aiman Abdullah.
Nurul Farhana turut mendakwa juru nikah tidak memeriksa jantina kakaknya memandangkan nama yang tertera pada kad pengenalan ialah Nawi dan tidak berubah walaupun dia memeluk Islam.
Pernikahan mereka dilangsungkan pada 17 April 2004 di Masjid Khadijah, Pantai Dalam di sini dan dikurniakan dua cahaya mata.
Perbicaraan bersambung 12 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment