Wednesday, June 16, 2010

Keshvinder Singh lupa daratan - Seng Giaw


KUALA LUMPUR 15 Jun - Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Mawar, Perak, K. Keshvinder Singh sebagai seorang yang lupa daratan apabila keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat Bebas.
Katanya, pengundi kawasan itu mengundi DAP kerana mereka berasa yakin terhadap parti itu yang boleh membawa kemakmuran kepada negeri Perak.
''Tindakan Keshvinder dilihat sebagai tidak menghormati mandat pengundi di kawasan tersebut.
''Biarlah dia meninggalkan DAP kerana itu adalah haknya untuk berbuat demikian," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Keshvinder Singh hari ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, keputusan itu diambil kerana beliau kecewa dengan kepimpinan parti pembangkang di negeri Perak yang terlalu banyak bermain politik sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.
Katanya, beliau menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan amat tertarik dengan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, perkara sebegitu adalah perkara biasa kerana terdapat satu atau dua yang akan keluar daripada parti setiap tahun.
Kata Seng Giaw, beliau tidak terkejut dengan tindakan Keshvinder Singh itu.

No comments:

Post a Comment