Wednesday, June 16, 2010

Taubatlah anakku

MASJID TANAH: “Sebak hati saya apabila anak perempuan yang ditatang bagai minyak penuh, tergamak memaki hamun ketika menasihatinya supaya pulang ke rumah kerana masih mempunyai suami,” kata seorang ibu tunggal, Sarinah Sagil, 50.
Menurutnya, anak perempuannya berusia 32 tahun itu sanggup meninggalkan suami serta dua anak berusia sembilan dan 12 tahun semata-mata mengikut teman lelaki dan bersekedudukan di rumah lelaki terbabit.
Katanya, anaknya itu tergamak menghinanya di khalayak ramai di rumah keluarga teman lelakinya selain dihalau dengan kata-kata kesat yang menghancurkan hati dan perasaannya.

Sarinah yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Rambai, ketika menceritakan kejadian itu berkata, anak perempuannya itu mula berubah sikap sejak mengenali lelaki terbabit selepas berlaku perselisihan faham dengan keluarga, beberapa tahun lalu.

Menurutnya, anak perempuannya itu dalam diam menjalin hubungan sulit dengan lelaki berkenaan berusia 30-an sekitar 2007 tanpa diketahui sesiapa sebelum nekad bertindak keluar rumah untuk tinggal di rumah keluarga lelaki itu.

“Kira-kira dua minggu lalu, saya mengambil keputusan untuk meninjau keadaan anak dari rumah seorang rakan yang kebetulan terletak berhampiran bagi membuktikan dia memang tinggal di rumah keluarga terbabit dan ternyata telahan saya benar.

“Berikutan itu, saya terus merujuk kepada sidang kampung itu sambil menjelaskan segala-galanya untuk mengambil tindakan lanjut terhadap keluarga terbabit, tetapi keluarga itu mendakwa anak saya sebagai anak angkat mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, sebelum ini, keluarga lelaki terbabit pernah datang ke rumah untuk meminang anak perempuannya itu, tetapi terpaksa ditolak kerana masih berstatus isteri orang.

Menurutnya, dia kemudian dimaklumkan keluarga terbabit bahawa anak perempuannya memberitahu sudah diceraikan suaminya, tetapi dakwaan itu tidak benar.

“Anak perempuan saya ini memang licik dan sekarang tinggal serumah dengan lelaki itu di Sungai Udang hingga gagal dikesan walaupun beberapa kali ditangkap Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), tetapi masih tidak insaf.

“Sejak kali terakhir ditangkap khalwat dengan lelaki itu awal tahun ini, kelibat anak saya itu gagal dikesan, namun berharap dia kembali ke pangkal jalan dan bertaubat terhadap perbuatan dilakukannya.
“Saya juga merayu pada Jaim supaya membantu membawa anak saya kembali semula ke pangkuan keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment