Tuesday, June 15, 2010

Dagang manusia: Kedudukan kita melonjak ke Tahap Dua



KUALA LUMPUR 14 Jun - Malaysia berupaya melaksanakan kempen memerangi pemerdagangan manusia berikutan komitmen dan sikap kepimpinan negara, termasuk Perdana Menteri yang mengakui mengenai kewujudan masalah tersebut.
Menurut Laporan Perdagangan Manusia yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk tahun 2010, keadaan itu telah melonjakkan kedudukan Malaysia daripada Tahap Tiga sebelum ini kepada Tahap Dua.
Dengan mengakui mengenai kewujudan masalah itu, kerajaan Malaysia melalui pelbagai agensi meningkatkan penyiasatan dan pendakwaan terhadap mereka-mereka yang terlibat dalam kes-kes berkaitan.
Antara langkah yang diambil ialah meningkatkan bilangan pegawai terlatih di bawah undang-undang berkaitan, menjalankan kempen kesedaran awam, membuka tiga lagi pusat tahanan imigresen dan melancarkan pelan tindakan lima tahun.
"Kerjasama membanteras kegiatan itu turut dibantu usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemantauan ke atas beberapa pegawai kerajaan yang dikatakan menerima rasuah," menurut laporan itu.
Kedudukan terbaru itu merupakan peningkatan berbanding kedudukan ketiga dalam laporan yang dikeluarkan bagi tahun 2009.
Dalam piawaian itu, setiap negara dikelaskan dalam tahap tertentu yang mana Tahap Pertamamerupakan tahap terbaik, manakala Tahap Ketiga dikelaskan tahap terburuk dengan anggapan kerajaan tidak serius menangani masalah itu.
Malaysia dikategorikan antara negara yang terlibat dalam perdagangan manusia yang melibatkan pendatang daripada negara-negara seperti Indonesia, India, Thailand, Nepal, China, Filipina dan sebagainya.
Menurut laporan itu, kebanyakan mereka yang bermigrasi untuk meningkatkan pendapatan dan kehidupan lebih baik terjebak dalam beberapa kes seperti pelacuran dan buruh paksaan selepas terikat dengan majikan mereka.
Laporan itu berkata, bagaimanapun, usaha pencegahan perlu dilaksanakan secara berterusan kerana masih banyak terdapat masalah pemerdagangan manusia berlaku di negara ini.
Maklumat lanjut tentang laporan tersebut boleh diperoleh di laman web http://www.state.gov.

No comments:

Post a Comment