Tuesday, June 15, 2010

Pas cabar bubar Parlimen



KOTA BHARU - Pas Kelantan mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen, sekali gus mengadakan Pilihan Raya Umum dengan segera sekiranya beliau yakin untuk memperoleh kemenangan pada pilihan raya itu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Harun berkata, kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa sokongan Perdana Menteri kini terus kukuh tidak melambangkan realiti sebenar pada suasana politik negara.

“Kenyataan Tun tidak berpijak kepada realiti politik semasa. Beliau gunakan analisis Merdeka Centre untuk buat kesimpulan tetapi Pakatan Rakyat (PR) juga mempunyai analisis sendiri.

“Oleh itu jika Perdana Menteri berani, sila bubar Parlimen sekarang dan kita beri peluang kepada rakyat sekarang untuk memilih kerajaan baru untuk mentadbir Putrajaya, kita boleh tengok kebenaran analisis itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kelmarin, Tun Dr Mahathir berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 boleh diadakan dalam masa terdekat memandangkan keyakinan dan kepuasan hati rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri sudah meningkat 72 peratus.

Katanya, 72 peratus adalah satu angka baik kerana beliau sendiri mampu dapat majoriti dua pertiga (pada 1999), meskipun kedudukan hanya pada tahap 60 peratus sokongan.

No comments:

Post a Comment