Tuesday, June 15, 2010

Teheran hantar kapal bantuan ke Gaza


TEHERAN: Iran menghantar kapal bantuan ke Gaza, yang disifatkan oleh Israel sebagai langkah provokasi berikutan dakwaannya bahawa Teheran membantu penduduk Palestin dengan kelengkapan senjata.

Satu kapal meninggalkan pelabuhan kelmarin manakala yang lain akan berlepas Jumaat ini, dipenuhi dengan makanan, bahan pembinaan dan permainan, kata laporan berita tempatan. Bot terbabit adalah sebahagian usaha antarabangsa untuk menghalang pemulauan Israel terhadap Gaza.
“Sehingga berakhirnya halangan terhadap Gaza, Iran akan terus menghantar kapal bantuan,” kata seorang pegawai Persatuan Pertahanan Penduduk Palestin Iran.
Ketika Israel sejak sekian lama mengesyaki Iran, yang menolak hak kewujudan negara Yahudi itu, membekalkan senjata kepada Hamas, Teheran berkata mereka hanya memberi sokongan moral kepada kumpulan terbabit.

Tentera Israel dua minggu lalu menyerbu sebuah kapal bantuan Turki menuju ke Gaza pada 31 Mei dan membunuh sembilan aktivis pro-Palestin, kebanyakan mereka rakyat Turki.

Rakyat di kebanyakan negara Islam marah dengan pembunuhan terbabit. Seorang pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Iran berkata, kira-kira 100,000 penduduk Iran secara sukarela menjadi krew kapal bantuan terbabit, lapor akhbar harian Iran.

Seorang pegawai kanan Iran sebelum itu berkata Pengawal Revolusi elit Iran bersedia menyediakan tentera pengiring bagi kapal bantuan itu menuju ke Gaza jika diarahkan pemimpin, Ayatollah Ali Khamenei.
Bagaimanapun timbalan ketua, Hossein Salami berkata sehingga kini mereka tiada rancangan untuk berbuat demikian.

“Perkara seperti itu tiada dalam agenda kami,” katanya yang dipetik agensi berita IRNA, semalam.

Sebarang tindakan tentera akan memberi risiko kepada peperangan lebih besar dengan Israel yang bimbangkan program pengkayaan nuklear Iran bertujuan untuk mewujudkan bom atom. – Reuters

No comments:

Post a Comment