Tuesday, June 15, 2010

Terpulang kerajaan – Dr. M



DR. Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Melayu Bangkit di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam. – BERNAMA


KUALA TERENGGANU 14 Jun – Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meningkat kepada 72 peratus mungkin boleh menjadi petunjuk bagi kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam masa terdekat.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, terpulang kepada kerajaan sama ada ingin mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat dengan mengambil kira kaji selidik yang dibuat Merdeka Centre.
“Alhamdullilah kalau dia (Najib) terima 72 peratus. Tapi ranking agensi itu kita nak kena tahu juga siapa mereka.
“Yang saya tahu semasa saya menang sehingga dua pertiga kerusi, kedudukan ranking saya 60 peratus saja. Tetapi kalau 72 peratus, kita harap boleh menang lebih daripada dua pertigalah. Boleh buat sekaranglah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau mengulas hasil kaji selidik agensi itu yang mendapati tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu.
Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.
Peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.
Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.
Ketika kajian itu dijalankan, beberapa peristiwa dalam negara turut mempengaruhi keputusan antaranya pilihan raya kecil Sibu, kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis, pembatalan perhimpunan 13 Mei yang dianjurkan oleh Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) serta pengumuman lesen perjudian bola sepak.
Kajian juga menunjukkan sebanyak 50 peratus responden yakin bahawa Najib dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun terhadap inisiatif yang dilakukan beliau iaitu gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).
Menyentuh pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Najib baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata ia sedikit sebanyak menepis tanggapan orang Melayu tentang kepentingan Melayu diketepikan dalam perancangan Model Baru Ekonomi (MBE).
“Saya belum meneliti RMK-10 ni, tetapi nampak dalam perancangannya masalah-masalah orang Melayu akan diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
“Ini kerana MBE telah menerima kritikan daripada orang Melayu. Bukan daripada parti-parti pemerintah tetapi daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Saya percaya kritikan ini telah diambil kira dalam RMK-10,” katanya.
Beliau juga menegaskan MBE bukan satu kesinambungan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi perancangan RMK-10 yang diumumkan itu sebahagiannya mempunyai kesinambungan daripada DEB,” katanya.
Dr. Mahathir sebelum itu berucap lebih sejam pada Perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gertak di Stadium Negeri, di sini.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan pengerusi Gertak, Razali Idris serta lebih 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment