Monday, July 5, 2010

9 beranak merempat di kaki bukit



Posted on the July 5th, 2010 under BeritaLuar Negara by johnjimat
15/7
JEDDAH: Seorang wanita Saudi bersama-sama lima anak perempuan dan tiga anak lelaki tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung kecuali di kaki bukit di kawasan al-Fayha, berhampiran pintu masuk ke Makkah dari Jeddah.
Wanita itu dikatakan melarikan diri dan anak-anaknya daripada abangnya yang mengancam untuk membunuh mereka.
Anggota Suruhanjaya Kemanusiaan, Muhammad Al-Suhaili memberitahu Arab News, beliau yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Makkah selepas menghadiri mesyuarat di Jeddah ternampak seorang wanita dan lapan anaknya di kawasan pergunungan berdekatan pintu masuk ke Makkah.
Muhammad yang juga kakitangan Universiti Umm Al-Qura dan imam Masjid Puteri Sheikha mengatakan beliau berhenti lalu bertanya kepada wanita terbabit mengapa dia berada di kawasan terpencil yang tidak selamat bagi seorang wanita.
Wanita itu memberitahu Muhammad, Mahkamah Awam di Jeddah menjatuhkan talak ke atasnya selepas pihak mahkamah mendapati dia sering didera suaminya.
Selepas perceraian itu, dia tinggal di sebuah rumah kebajikan di Jeddah tetapi berpindah ke kediaman ibunya selepas beberapa waktu.
Abang saya yang juga tinggal di rumah ibu melayan saya dengan buruk. Dia mengugut untuk membunuh saya dan anak-anak jika kami tidak pindah dari rumah ibu.
Jadi saya terpaksa keluar dari rumah itu dan tinggal di sini, jelasnya kepada Muhammad. Muhammad kemudian membawa sembilan beranak itu ke Makkah dan mencari tempat tinggal untuk mereka.
Beliau memberitahu seorang sahabat ibunya menyatakan kesudian menerima sembilan beranak itu tinggal bersama buat sementara waktu sehingga mereka mendapat tempat tinggal tetap.
Saya belum membuat permohonan kepada jabatan kerajaan bagi mendapatkan bantuan untuk wanita terbabit tetapi sudah meminta beberapa dermawan tampil membantunya, ujar Muhammad.
Beliau berkata, Suruhanjaya Kemanusiaan sebelum ini berjaya mendapatkan sebuah rumah untuk seorang wanita dan beberapa anaknya menerusi bantuan seorang dermawan, Muhammad Ahmad Jamal.
Beliau berharap ibu serta lapan anak berkenaan juga akan bernasib baik. – Agensi
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment