Monday, July 5, 2010

RM6 juta masih ‘sangkut’



ALOR SETAR - Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia meminta penjelasan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung tunggakan bayaran subsidi beras ST15 berjumlah melebihi RM6 juta. 

Yang Dipertuanya, Muhammad Zaini Ahmad berkata, pihaknya resah memandangkan tuntutan bayaran sejak Disember 2009 hingga Jun masih belum dibayar. 

“Saya harap Menteri terbabit campur tangan segera dan memberi penjelasan kemelut yang kami hadapi ini. Kami adalah kilang-kilang beras Melayu yang menyertai skim Bernas dan dilantik Kementerian untuk mengeluarkan beras ST15, namun agak sukar untuk meneruskan operasi sekiranya bayaran tidak diterima,” katanya. 

Menurutnya, akibat daripada tindakan kerajaan menangguhkan pembayaran terbabit, akan menyebabkan kilang Melayu tidak mampu meneruskan operasi pada musim kedua tahun ini yang akan bermula Julai ini. 

“Kilang-kilang yang mempunyai kontrak dengan kerajaan berdepan dengan masalah kerana terpaksa menanggung kerugian dan akhirnya menjejaskan kontrak sedia ada,” katanya. 

Muhammad Zaini berkata, pihaknya telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah bahagian Kawal Selia yang dipertanggungjawabkan untuk mengedar beras ST15, namun sehingga kini masih belum mendapat maklum balas. 

“Tuntutan bertulis diserahkan setiap bulan, namun tiada kata putus daripada Kementerian. Pengilang Melayu kini resah menunggu sama ada memperoleh bayaran atau sebaliknya. Kita tidak mahu pengilang Melayu kelak gulung tikar kerana berdepan dengan beban hutang,” katanya. 

Menurutnya, persatuan berharap pembayaran dapat dibuat segera atau sekurang-kurangnya memberi penjelasan bertulis mengenai permasalahan ini. 

Muhammad Zaini berkata, pihaknya juga mahu peranan Bernas dalam melaksanakan obligasi sosial terhadap pengilang Melayu melalui skim yang ada dikaji semula, selain membantu sepenuhnya pengilang Melayu memandangkan tahap kilang-kilang ini masih rendah berbanding kilang-kilang swasta. 

“Pengilang Melayu juga berdepan masalah persaingan untuk mendapatkan bekalan padi termasuk pemasaran beras. 

"Saya harap pihak terbabit prihatin dengan masalah pengilang Melayu dan tampil menyelesaikan masalah ini,” katanya. 

Menurutnya, terdapat lebih 60 kilang beras Melayu di Kedah ketika Lembaga Padi Nasional (LPN) beroperasi, sebaliknya jumlah itu berkurangan kepada 14 setelah kerajaan menswastakan kepada Bernas.

No comments:

Post a Comment