Monday, July 5, 2010

Perhimpunan GAS berlangsung kecoh



KLANG - Perhimpunan kedua Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) berlangsung dalam suasana kecoh apabila sekumpulan 50 pemimpin MIC yang didakwa penyokong kepimpinan Datuk Seri S Samy Vellu mengganggu perjalanan perhimpunan tersebut. 

Program yang sepatutnya bermula 1.30 petang itu terganggu apabila penyokong Samy yang dipercayai diketuai oleh tiga lelaki dilihat menolak dan menghalang orang ramai yang mula memasuki Dewan Datuk Hamzah, lokasi perhimpunan diadakan. 

Pergelutan dan pertikaman lidah di pekarangan dewan menyebabkan seorang jurukamera akhbar China Press cedera di bahagian bibir apabila ditolak dalam kekecohan tersebut. 

Sekitar jam 2 petang, perhimpunan mula gamat dengan perang mulut menyebabkan berlaku pergelutan di kalangan mereka. 

Keadaan ini menyebabkan penyokong GAS yang diketuai bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, K P Samy dan G Kumar Aamaan bertindak balas dengan menjerit ke arah penyokong Samy Vellu itu. 

Sementara itu Penyelaras GAS, Mugilan berkata beliau akan terus berjuang untuk memastikan Samy Vellu berundur sebagai presiden. 

Dia mengakui bahawa Presiden MIC itu telah mendapat sokongan kuat dari sayap parti Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri sewaktu mesyuarat umum tahunan yang berlangsung semalam, namun menegaskan hal ini kerana ketakutan mereka terhadap Samy Vellu. 

”Dia adalah diktator. Semua yang menentang dia boleh dipecat. Mereka takut kepadanya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment