Sunday, July 25, 2010

Hassan Ali akui temui Harussani


KUALA LUMPUR 24 Julai - Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali hari ini mengesahkan beliau ada menemui Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kira-kira dua bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau menafikan ia bertujuan membincangkan penyatuan antara UMNO dan Pas sebaliknya persiapan bagi menghadiri Mesyuarat Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
"Pertemuan itu dilakukan atas kedudukan saya sebagai Exco yang bertanggungjawab Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu dan ia dilakukan secara terbuka bukannya sulit seperti yang didakwa.
"Ia dilakukan bagi meraih kebaikan bersama demi kemajuan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini memandangkan Harussani memiliki ilmu dan pengalaman yang begitu luas dalam hal ehwal agama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hassan mengulas khabar angin yang mendakwa beliau antara pemimpin Pas yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Harussani mengenai usaha perpaduan antara kedua-dua parti itu.
Sebelum ini, Harussani mengesahkan ada pemimpin Pas menemuinya mendapatkan pandangan bagi merealisasikan usaha menyatukan orang Melayu dan mengukuhkan ikatan Islam antara UMNO dan Pas.
Menurut Hassan, Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat Exconya daripada mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira agama dan fahaman politik jika ia bertujuan meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi dan nilai profesional.
Mengulas lanjut, Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, beliau tidak pernah diberi mandat oleh Pas untuk membincangkan isu perpaduan dengan UMNO.
"Oleh itu tidak ada agenda khusus bagi membincangkan isu itu (perpaduan). Malah pertemuan tersebut juga tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan dan tiada sebarang pertemuan susulan selepas itu," jelasnya.

No comments:

Post a Comment