Sunday, July 25, 2010

lagi satu dol

Larang bina rumah murah nafi hak rakyat miskin - Gerakan

PULAU PINANG 24 Julai - Gerakan menyifatkan cadangan kerajaan negeri melarang pembinaan rumah kos rendah di bahagian pulau negeri ini sebagai menafikan hak asasi rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Pengerusi Biro Latihan Politik Gerakan negeri, Wong Mun Hoe berkata, cadangan itu sekiranya dipersetujui hanya akan menambah bilangan rumah setinggan di Pulau Pinang.
Jika itu berlaku, jelas beliau, ia akan memburukkan keadaan ekonomi dan persekitaran rakyat di negeri ini.
"Ketiadaan rumah kos rendah akan menyebabkan golongan miskin terpaksa membina tempat berlindung di mana-mana sahaja kawasan kosong termasuk tanah milik persendirian, kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat.
"Justeru, pembinaan rumah kos rendah perlu diteruskan, jangan abaikan keperluan setiap lapisan masyarakat, kaji kehendak pasaran untuk melihat keperluan rakyat," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Jabatan Perumahan negeri, Sim Tze Tzin mengenai cadangan melarang pembinaan rumah kos rendah berkeluasan kurang daripada 700 kaki persegi (213 meter persegi) dalam sebuah akhbar baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu juga menyebut, usaha tersebut dibuat berikutan kawasan kediaman kos rendah menjadi kotor dan sesak disebabkan kemudahan asas yang daif serta jumlah penduduk terlalu padat.
Tze Tzin juga mencadangkan agar kerajaan negeri tidak meluluskan projek rumah banglo tiga tingkat yang kosnya melebihi RM1 juta.
Menurut Mun Hoe, ketiadaan rumah kos rendah di bahagian pulau juga akan menyebabkan bahagian tanah besar seperti di Seberang Perai menjadi tempat lambakan kediaman jenis itu.
Jika itu berlaku, tambah beliau, ia akan mewujudkan pembangunan tidak seimbang kepada rakyat Pulau Pinang.
"Membatalkan pembinaan banglo berharga RM1 juta ke atas juga akan membantutkan program Malaysia Rumah Keduaku," ujarnya.
Beliau turut meminta kerajaan negeri menyenaraikan jumlah rumah kos rendah yang telah dibina di Pulau Pinang sejak pakatan pembangkang mengambil-alih pentadbiran iaitu selepas Mac 2008.

No comments:

Post a Comment