Friday, July 30, 2010

Kalimullah diminta jelas 'pertemuan sulit'


KUALA LUMPUR 29 Julai - Ahli perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Hassan diminta menjelaskan kepada umum agenda pertemuan sulit beliau dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada November lalu.
Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah yang mendakwa berlakunya pertemuan itu berkata, penjelasan Kalimullah sangat penting kerana beberapa pihak yang menghubungi beliau tertanya-tanya mengenai kebenaran pertemuan tersebut.
Beliau mendakwa, pertemuan Kalimullah dan Kit Siang turut dihadiri Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
''Persoalan saya, apakah motif sebenar perjumpaan berkenaan pada hari itu.
''Dan saya juga ingin meminta penjelasan daripada Tony apakah agenda perbincangan dengan Kalimullah tersebut?" katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Utusan Malaysia hari ini.
Azwandin mendakwa, Kalimullah telah menggunakan kedudukan beliau dan kekayaan yang diperolehinya untuk menjadi pengatur agenda yang dilihat boleh merosakkan keharmonian serta perpaduan rakyat.
"Segala pendedahan melalui bukti-bukti dokumen terdahulu oleh JMM, memperlihat dan menggambarkan Kalimullah juga adalah perancang mengatur agenda besar yang boleh menggugat keselamatan negara," dakwanya.
Sebelum ini, JMM turut mendakwa, Kalimullah terlibat dalam melindungi pengendali portalMalaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, yang sering memburukkan kepimpinan negara dan kini melarikan diri ke London, United Kingdom.
JMM dalam kenyataan sebelum ini memberitahu, Kalimullah melindungi Raja Petra dengan menyediakan penginapan buat pengendali portal itu di London, di rumah yang didaftarkan di atas nama isteri Kalimullah iaitu Helinna Hanum Dadameah.
JMM juga pernah mengaitkan Kalimullah mempunyai kepentingan dalam syarikat Efficient E-Solutions Bhd. dan Regalia Records Management Sdn. Bhd yang didakwa menaja portal beritaThe Malaysian Insider.
Kesemua tuduhan itu bagaimanapun telah dinafikan oleh Kalimullah.

No comments:

Post a Comment