Friday, July 30, 2010

Politik ada batasnya– Hisham


TUMPAT 29 Julai _ Parti-parti politik di negara ini diingatkan agar tidak melampaui batas ketika berpolitik sehingga boleh menimbulkan kesan buruk kepada keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, parti politik terbabit tidak bertanggungjawab kepada masa depan negara sekiranya mereka tidak memberikan perhatian terhadap perkara tersebut.
Beliau turut bimbang jika cara politik melampaui batas itu diteruskan parti-parti terbabit kerana ia akan menghancurkan keharmonian dan pembangunan yang dicipta sejak berpuluh tahun lalu.
“Sebab itu saya tekankan ada batasan dalam politik kerana semuanya dilihat dalam konteks perkauman dan keagamaan. Ada had dan batasan untuk berpolitik dan bukan semuanya boleh dipolitikkan dan jika ia berlaku ia satu tindakan tidak bertanggungjawab kepada masa depan rakyat dalam negara ini.
“Saya bimbang jika permainan itu diteruskan ia cukup bahaya untuk pembangunan negara dan menyebabkan maruah negara kita juga hancur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di Wat Pikunthong Wawaran di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada DAP supaya tidak terlalu menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum tersebut.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan cuba menentukan dasar-dasar yang adil dan saksama tetapi orang Melayu dan bumiputera akan merasa marah jika parti itu asyik menekankan tentang soal penghapusan dasar membabitkan kepentingan orang Melayu di negara ini.

No comments:

Post a Comment