Friday, July 30, 2010

Presiden MCA terkejut


IPOH 29 Julai - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek terkejut apabila dimaklumkan pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan dan bekas presiden parti itu, Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, Soi Lek berkata, beliau dan pemimpin MCA yang lain yakin Liong Sik akan mendapat perbicaraan yang adil mengikut sistem perundangan di negara ini.
Soi Lek hanya mengetahui berita itu ketika pemberita memintanya mengulas mengenai perkara berkenaan.
"Bila?... selain daripada beliau (Liong Sik), siapa lagi (yang didakwa)?" tanya Soi Lek kepada pemberita yang menemuinya selepas beliau melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Poi Lam di sini hari ini.
Sementara itu di Kuala Lumpur, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata, kes pendakwaan Liong Sik tidak akan menjejaskan proses pemulihan dalam parti MCA.
Tee Kiat yang juga bekas Menteri Pengangkutan berkata, adalah tidak adil untuk mengaitkan apa yang berlaku ke atas Liong Sik, yang menjadi Presiden MCA sejak 1986 hingga 2003, dengan parti itu sekarang.
"Rakyat ingin tahu hasil penyiasatan pihak SPRM dan polis. Ini adalah kepentingan umum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Undang-Undang Malaysia Ke-15 anjuran Majlis Peguam hari ini. - BERNAMA.

No comments:

Post a Comment