Friday, July 30, 2010

Malaysia pangkalan militan

Dakwaan Polis Punjab serius

TUMPAT 29 Julai - Kerajaan me mandang serius dakwaan Polis Punjab berhubung kumpulan puak pemisah Sikh yang kejam, Khalistan Liberation Force (KLF), telah menubuhkan pangkalan di luar Kuala Lumpur dengan sekurang- kurangnya empat daripada anggota militannya masih bersembunyi di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ) berkata, pada masa kini, pihaknya sedang memantau dan menyiasat dakwaan tersebut dengan bantuan Interpol serta agensi perisikan India.
Beliau berkata, isu keselamatan termasuk ancaman pengganas hari ini menjadi satu perkara yang amat kompleks dalam dunia tanpa sempadan.
"Kita sedang memantau gerakan militan di Malaysia dan dalam konteks ini kita juga sedang menunggu butiran lanjut daripada pihak perisikan India sebelum sebarang tindakan diambil.
"Kita bekerjasama dengan semua pihak seperti Interpol dan negara India (bagi menyiasat kebenaran laporan itu). Hubungan kita sangat baik dengan semua pihak dan usaha pembanterasan militan merupakan usaha yang sangat serius," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Ucapan Tahniah dan Penyampaian Taraf Kewarganegaraan Malaysia di Wat Pikunthong Wawaran di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan taraf kewarganegaraan kepada seramai 89 rakyat berketurunan Siam dari seluruh negeri ini seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada masyarakat itu pada 15 Julai lalu.
Hari ini, akhbar melaporkan Polis Punjab mendakwa satu kumpulan puak pemisah Sikh yang kejam telah menubuhkan pangkalan di luar Kuala Lumpur dengan sekurang-kurangnya empat daripada anggota militannya masih bersembunyi di Malaysia.
Bukti penting itu muncul selepas polis di daerah Patiala di Punjab menangkap seorang yang disyaki militan, Pargat Singh berumur 22 tahun Isnin lepas di sebuah rumah tetamu yang dituduh dalam satu siri pengeboman di negeri itu awal tahun ini.
Hishammuddin berkata, Malaysia mempunyai cara yang tersendiri untuk mengatasi masalah militan dan sehingga kini ia dapat dikawal sepenuhnya.
"Perkara yang selama ini patut kita bangga kerana ramai yang datang belajar mengenai cara yang kita gunakan tetapi ia tidak digembar gemburkan. Kita mungkin hanya negara transit atau destinasi kumpulan ini sahaja.
"Ancaman itu wujud tetapi tidak semestinya di Malaysia sahaja dan apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa pengganas bukan hanya orang Islam sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment