Friday, July 30, 2010

Malaysia maju setapak lagi

Sindiket curi kereta ke pasaran antarabangsa

IPOH 29 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti sindiket yang terlibat dalam kegiatan mencuri kereta di negara ini untuk dijual di pasaran antarabangsa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, tindakan ini berikutan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menyedari wujudnya kegiatan tersebut yang kini bergerak aktif di seluruh negara.
Menurutnya, PDRM juga sedang meningkatkan kerjasama dengan polis di negara-negara ASEAN dan negara lain bagi mengenal pasti sindiket terbabit.
Katanya, Bahagian Risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang mengumpul maklumat terkini modus operandi sindiket itu yang mempunyai rangkaian di seluruh negara sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Menurut beliau, pihaknya sedang memantau keadaan itu dan tindakan akan diambil sebaik sahaja maklumat terperinci mengenainya di perolehi dari sumber risikan polis.
“Sejak enam bulan pertama tahun ini, Bukit Aman berjaya menemui semula 46 buah kenderaan curi di beberapa negara ASEAN manakala 36 lagi di beberapa negara di luar rantau Asia.
“Kita ada lakukan tangkapan tetapi tidak ada bukti untuk mendakwa mereka dan oleh itu kita perlu kumpulkan bukti yang kukuh sebelum mendakwa mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) seluruh Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Ismail diminta mengulas laporan yang mendakwa syarikat insurans di negara ini membayar tuntutan hampir RM400 juta akibat kegiatan curi kereta oleh sebuah sindiket antarabangsa tahun lalu.
Menurut laporan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), 8,673 buah kenderaan persendirian kebanyakannya buatan Jepun dilaporkan dicuri tahun lalu oleh sindiket yang menjualnya di China, Kemboja, Sierra Leone dan Afrika Selatan.
Tambah Ismail, polis negara terbabit juga sedang memantau kegiatan sindiket itu dan sedang mengkaji langkah susulan yang perlu diambil bagi membanteras kegiatan tersebut daripada berulang.
“Kita mempunyai pakar risikan selain menjalinkan kerjasama dengan rakan sejawat kita di negara berkenaan dan saya yakin kita akan dapat mengesan modus operandi sindiket itu.
“Polis juga kini hanya menunggu masa untuk melaksanakan tindakan susulan bagi melumpuhkan sindiket tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment