Friday, July 9, 2010

Kematian dalam tahanan, bukan retorik semata Oleh - Elviza Michele Kamal




DEBAT yang lapuk. Tidak pernah wujud tindakan tegas yang diambil untuk mengekang kematian OKT (orang kena tahan) dalam tahanan. Badan Peguam tidak pernah diam, terpekik terlolong mereka membantah kematian yang secara amnya, telah memanifestasikan ketidakadilan dari pihak yang berkuasa untuk menahan. Suaram juga begitu dan pertubuhan badan bukan kerajaan lain. Namun, pada pendapat saya, perihal kematian dalam tahanan ini hanya retorik semata. 

Apa yang gegak gempita hanyalah debat ilmiah dan kritikan yang mengecam teruk pihak berkuasa, terutamanya Polis Diraja Malaysia. Tiada tindak balas yang positif dapat saya lihat. Undang-undang, polisi dan tatacara untuk mempertahankan hak-hak asasi OKT juga rengsa dan lompang di sana sini. Tidak terhad kepada kematian dalam tahanan berprofil tinggi seperti A Kugan dan Teoh Beng Hock, terdapat juga nama-nama yang sudah mula luntur daripada ingatan kita seperti Francis Udayappan, V Vikines, Tharma Rajan, M Ragupathy, Syed Fadzil Syed Ibrahim, Hasrizal Hamzah, Prakash Moses, Kannan Kanthan, Ahmad Salleh dan ramai lagi. 

Apa yang paling merimaskan saya adalah kenyataan ‘rasmi’ yang keluar daripada mulut ahli-ahli politik tempatan. Kadang-kadang, campur tangan mereka itu boleh mengaburi jurang yang memisahkan antara politik dan kemanusiaan. Harap mereka faham. 

Tetapi, tanggal 30 Jun 2010, bertempat di Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, menjadi tarikh keramat untuk balu serang balu, Suzana Md Aris. 11 tahun lalu, suami Suzana, telah ditahan reman di lokap Balai Polis Rawang kerana disyaki menyalahgunakan najis dadah. Beliau kemudiannya mati ketika dalam tahanan reman kerana serangan radang paru-paru. 

Suzana telah menyaman Deputi Superintenden Ishak Hussin yang ketika itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Gombak, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Massari Hashim, Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Norian Mai dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga keempat. 

Hakim asal kes, Kang Hwee Gee telah membenarkan tuntutan Suzana terhadap Defendan Ketiga dan Keempat. Dalam alasan penghakiman, beliau memutuskan bahawa KPN ketika itu dan Kerajaan Malaysia telah cuai sehingga mengakibatkan kematian suami plaintif dalam tahanan. 

Dalam menentukan jumlah ganti rugi Penolong Kanan Pendaftar telah mengarahkan Defendan Ketiga dan Keempat membayar sebanyak RM137,220 kepada plantif. 

Apabila kedua-dua belah pihak memfailkan rayuan dan rayuan balas kerana tidak berpuas hati dengan jumlah diperintahkan, mereka mungkin tidak menyangka hakim yang bakal mendengar rayuan mempunyai fikiran tersendiri. 

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng telah menghembuskan harapan baru dalam isu kematian dalam tahanan, tatkala mendengar rayuan tersebut. Hakim jauhari itu telah memerintahkan agar si balu dibayar sebanyak RM1.4 juta, yang merangkumi ganti rugi tanggungan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. Juga faedah pada kadar lapan peratus akan dikenakan dari tarikh kematian sehingga selesai tuntutan. Kental sekali mesej yang ingin disampaikan oleh hakim bijaksana. 

Apa yang saya ulang baca berkali-kali adalah inti pati penghakiman yang berbunyi: “Let the message go forth from this place that any more deaths in police custody is one too many. Steps must be taken that the basic human right of a detained person to seek medical treatment, in this case a suspected drug addict, should be immediately attended to.” 

Pada deria pendengaran saya, tiada melodi yang boleh menandingi keindahan bunyi kata-kata menegakkan keadilan dan keputusan mahkamah yang membela hak asasi manusia. Apa yang pasti apabila cabang Eksekutif dan Legislatif tidak mampu menegakkan hak asasi anda, institusi kehakiman adalah harapan terakhir untuk kita. 

Hari ini, berdasarkan keputusan mutakhir dari kamar Hakim Lee Sweng See, harapan itu masih menyala. 

Apa yang sudah mati tidak mampu bersuara untuk mencari keadilan. Jadi, tugas untuk membela mereka yang mati ketika dalam tahanan, jatuh ke bahu kita yang masih bernafas ini. Fikir-fikirkan selalu. 

� Elviza masih percaya dengan sistem kehakiman negara. Temui beliau di laman Twitter http://twitter.com/elviza

No comments:

Post a Comment