Friday, July 9, 2010

Majikan siasat gangguan seksual



KUALA LUMPUR 8 Julai - Majikan yang gagal melakukan siasatan terhadap aduan gangguan seksual di dalam sesebuah pejabat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000.
Peraturan tersebut terkandung dalam Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Pindaan terhadap Akta Kerja 1955 yang dibentang oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan menyebut aduan gangguan seksual boleh dibuat membabitkan pekerja terhadap pekerja, pekerja terhadap majikan, majikan terhadap majikan dan majikan terhadap pekerja.
Pekerja yang didapati bersalah melakukan gangguan seksual boleh dipecat tanpa notis, turun pangkat dan tindakan gantung kerja tanpa gaji tidak melebihi dua minggu.
Jika tertuduh yang terlibat adalah terdiri daripada kalangan majikan, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan badan disiplin syarikat berkenaan.
Bagi kes-kes gangguan seksual yang dilakukan majikan terhadap pekerja, aduan boleh dibuat secara terus kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Antara tindakan yang boleh diputuskan oleh Ketua Pengarah JTK adalah menamatkan kontrak kerja antara kedua-duanya dan pekerja berkenaan akan diberi ganti rugi.
Mengikut rang undang-undang berkenaan, majikan hanya boleh menolak untuk menyiasat aduan gangguan seksual jika aduan sama telah dibuat sebelum ini dan didapati tiada kes atau jika majikan berpendapat tuduhan dibuat dengan niat tidak baik.
Majikan perlu memberikan jawapan secara bertulis sebab-sebab menolak untuk melakukan siasatan dan ia harus dibuat dalam tempoh tidak lebih daripada 30 hari selepas menerima aduan.
Dalam pada itu, pindaan lain yang dibuat membabitkan langkah mewujudkan peruntukan mewajibkan majikan memasukkan gaji secara terus ke dalam akaun bank pembantu rumah.
Peruntukan baru juga dimasukkan bagi membolehkan pekerja wanita menikmati perlindungan ketika bersalin seawal 22 minggu kehamilan khususnya yang melibatkan kelahiran pramatang atau keguguran.
Pindaan itu turut memasukkan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum dan pekerja layak diberi hari kelepasan berbayar.
Sementara itu, Maznah turut membentangkan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 hari ini bagi menaikkan had umur kanak-kanak yang boleh diambil bekerja daripada 14 tahun kepada 15 tahun.
Kanak-kanak berkenaan hanya boleh melaksanakan kerja-kerja ringan yang sesuai dengan keupayaan mereka termasuk yang dilaksanakan di sekolah dan institusi latihan.
Pindaan berkenaan juga menaikkan had umur orang muda daripada 16 tahun kepada 18 tahun.
Orang muda boleh melakukan semua pekerjaan yang dilakukan kanak-kanak dengan tambahan beberapa pekerjaan lain termasuk sebagai pembantu rumah, kerja di pejabat, kedai, gudang, kilang, bengkel, setor, rumah tumpangan, pawagam, pementasan, kelab dan persatuan.
Hukuman denda dan penjara terhadap mana-mana pihak termasuk ibu bapa dan penjaga yang membenarkan kanak-kanak dan orang muda bekerja dalam sektor tidak dibenarkan turut dinaikkan.
Hukuman penjara tidak lebih enam bulan dinaikkan kepada setahun manakala denda sekarang sebanyak RM2,000 dinaikkan kepada RM5,000.

No comments:

Post a Comment