Friday, July 9, 2010

Zahrain serah bukti PKR taja Raja Petra




KUALA LUMPUR - Bukti yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) membiayai perbelanjaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di London diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim. 

Menurutnya, beliau telah menyerahkan bahan bukti itu yang berbentuk kandungan e-mel kepada Mohamed Nazri dan beliau sendiri sedia disoal siasat polis berhubung perkara itu. 

”Saya sudah bagi dokumen itu kepada Nazri. Bukti itu nanti akan didedahkan pada masa yang sesuai dan menteri pun saya percaya dia sedia disiasat polis dan saya pun bersedia jika polis nak jumpa (saya) dan bincang,” katanya di sini, semalam. 

Sabtu lalu, Nazri berkata, kerajaan mempunyai bukti bahawa Raja Petra, yang melarikan diri ke luar negara, dibiayai PKR di London. 

Zahrain berkata, beliau berharap kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan terperangkap dengan permainan politik PKR khususnya yang melibatkan isu Raja Petra dan penyiasat persendirian P Balasubramaniam. 

Sehubungan itu, beliau memuji keputusan SPRM baru-baru ini, untuk tidak menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. 

Zahrain juga menggesa Anwar dan Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya supaya meminta Balasubramaniam dan Raja Petra pulang ke Malaysia. 

“Kalau mereka ini adalah pemimpin negara yang bertanggungjawab, mereka harus nasihat dan meminta supaya kedua-dua mereka pulang ke Malaysia dan berdepan dengan sesiapa sahaja,” katanya.         

Zahrain juga menyokong kenyataan Ahli Parlimen Bebas, Wee Choo Keong mengenai peranan Anwar dan Zaid dalam kes tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment