Friday, July 9, 2010

SPRM tahan 194 pemberi rasuah, 140 penjawat awam



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 194 orang yang didapati menawarkan rasuah kepada penjawat awam sejak Januari hingga bulan lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, mereka yang memberi rasuah kini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, sama seperti penerima rasuah.

Beliau berkata, orang awam yang ditahan kerana kesalahan rasuah juga melibatkan rakyat asing, antaranya dari Bangladesh, Singapura, Vietnam, Sepanyol dan Argentina.

"Antara kesalahan mereka kerana cuba memberi rasuah kerana ketiadaan dokumen perjalanan diri dan ada ditahan kerana memberi rasuah kepada anggota polis trafik," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Bulan Julai sebagai Integriti Amanahraya' di Wisma Amanahraya di sini, hari ini.

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 140 penjawat awam turut ditahan kerana kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

"Statistik bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan agensi penguatkuasa di negeri ini masih terdedah kepada jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Bagaimanapun, kini orang awam yang ditahan lebih ramai berbanding penjawat awam.

Ini mungkin kerana peningkatan integriti dan kesedaran jauhi rasuah dalam kalangan penjawat awam," katanya.

Mengenai aktiviti mencegah rasuah dalam kalangan pekerja di sesebuah organisasi termasuk sektor awam dan swasta diteruskan, SPRM akan menganjurkan kursus Sijil Pegawai Integriti yang akan dimulakan pada bulan ini.

Beliau berkata, kursus pertama itu bakal memberi pengetahuan menyeluruh dan teknik terkini mengenai fahaman integriti dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

“Kursus bagi kumpulan pertama itu akan dijalankan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) selama seminggu pada setiap bulan selama enam bulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment