Friday, July 9, 2010

SPRM tidak siasat dakwaan Barry Wain terhadap Dr. Mahathir - Nazri



kUALA LUMPUR 8 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bercadang menyiasat segala dakwaan yang dibuat Barry Wain dalam bukunya Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times kerana mendapati tiada elemen perlakuan rasuah berlaku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, selepas meneliti buku berkenaan, SPRM mendapati tidak berlaku sebarang kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
"SPRM mendapati tiada elemen perlakuan rasuah berlaku seperti didakwa buku itu dan tidak bercadang untuk menyiasat segala dakwaan yang terdapat di dalamnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Charles bertanya adakah kerajaan merancang menyiasat dakwaan Wain bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanggungjawab ke atas kerugian berjumlah RM100 bilion ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
Dalam bukunya, Wain bekas Pengarang Urusan Asian Wall Street Journal mendakwa kononnya Mahathir telah membazirkan sehingga RM100 bilion ketika menjadi Perdana Menteri.
Mahathir dalam blognya http://chedet.co.cc/chedetblog/ sebelum ini mengakui pernah berlaku beberapa kerugian dalam tempoh pentadbirannya tetapi jumlahnya tidak pun mencecah RM10 bilion.

No comments:

Post a Comment