Sunday, August 1, 2010

Ketua Pesuruhjaya SPRM sedia letak jawatan jika aduan tidak disiasat



KUALA LUMPUR 31 Julai - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata beliau akan meletakkan jawatan jika mana-mana aduan kepada suruhanjaya itu termasuk terhadap menteri Kabinet tidak disiasat.
"Jika tidak ada siasatan dijalankan mengenai mana-mana laporan, walaupun terhadap menteri Kabinet, saya sedia meletak jawatan," katanya semasa sesi soal jawab pada hari terakhir Persidangan Undang-Undang Malaysia selama tiga hari di sini hari ini.
Katanya beliau bersedia menerima aduan terus daripada orang ramai atau melalui Jawatankuasa Aduan SPRM yang diketuai oleh bekas seorang hakim.
Terdapat 119 aduan diterima oleh jawatankuasa itu pada tahun lepas sahaja, kata beliau.
"Kita tidak akan menyembunyikan apa-apa. Jika kita salah, kita salah, atau jika kita tidak bagus bagi tugas tersebut, kita akan bekerja keras untuk memperbaiki diri kita," kata Abu Kassim yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Januari tahun ini.
Beliau berkata sejak SPRM ditubuhkan pada Januari tahun lepas, kira-kira 10,000 orang telah ditangkap, antara mereka menteri, anggota Parlimen dan pegawai kanan kerajaan, tanpa mengira pendirian politiknya.
SPRM juga terbabit dalam menangani kes politik wang dalam UMNO, di mana 12 anggota parti itu didakwa, katanya.
"Tindakan SPRM telah mengakibatkan satu demonstrasi yang ditaja oleh Pemuda UMNO yang mendakwa bahawa kita tidak berhak menyiasat politik wang parti itu," kata Abu Kassim di hadapan kira-kira 300 peguam pada persidangan tersebut.
Beliau berkata salah satu cabaran utama yang dihadapi SPRM kini ialah mengubah persepsi masyarakat terhadap suruhanjaya itu bahawa ia hanya menyiasat"ikan bilis dan bukan yang besar". "Pada amnya, kita hanya sebuah agensi penyiasat dan tidak ada kuasa untuk mendakwa terhadap suspek terbabit dalam amalan rasuah," tegas Abu Kassim.
Katanya harapan orang ramai terhadap suruhanjaya itu kian meningkat, dan beliau bekerja keras dengan pegawainya dalam memperbaiki persepsi orang ramai kepada SPRM.
Terdahulu dalam ucapannya, Abu Kassim berkata selain persepsi daripada orang ramai, SPRM menghadapi cabaran daripada media yang melaporkan sebarang pergerakan suruhanjaya tersebut. "Ia hampir seperti siaran langsung, di mana orang ramai mula menanyakan siapa pula akan ditangkap oleh SPRM; di mana ia sangat telus...yang mendesak pada keadilan kepada semua yang sedang disiasat oleh kita," kata beliau. Beliau juga berkata bahawa rasuah merupakan satu jenayah yang paling sukar untuk dibuktikan, di mana kadang-kadang ia membabitkan siasatan terhadap kawan atau saudara suspek.
Abu Kassim juga berkongsi pengalaman dalam mengendalikan aktiviti perlombongan pasir haram di Perak, Selangor, Johor dan Pahang, dengan mengatakan bahawa beliau secara peribadi memberikan taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai seriusnya masalah itu dan sambil menambah bahawa 49 orang telah ditangkap mengenai kes ini.
Ditanya pemberita kemudian sama ada beliau akan memohon agar SPRM diberikan kuasa untuk mendakwa, Abu Kassim berkata beliau tidak mengadu mengenai perkara itu. "Lebih baik saya tidak mengulas perkara ini. Saya hanya mahu orang ramai memahami tugas kita untuk membuat siasatan, dan itu sahaja," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment