Sunday, November 21, 2010

Indonesia mahu siasatan dijalankan

KES PEMBUNUHAN AMAH DI ARAB SAUDI


Yudhoyono terkejut dengan sifat tidak berperikemanusiaan majikan


JAKARTA: Indonesia semalam meminta agar satu siasatan dijalankan berhubung laporan yang mendakwa bahawa seorang pembantu rumah warga negara itu telah dibunuh oleh majikannya di Arab Saudi dan mayatnya dicampakkan ke dalam tempat sampah - kes kedua yang melibatkan penderaan pembantu rumah di Arab Saudi minggu ini.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengatakan demikian semasa bercakap dengan wartawan selepas satu mesyuarat Kabinet yang diadakan berhubung perlunya melindungi ratusan ribu pekerja pendatang di Timur Tengah.Kumpulan-kumpulan hak asasi berkata terlalu ramai pendatang itu menghadapi suasana kerja seperti hamba abdi, penderaan, penganiayaan seks dan kematian.Menteri buruh Indonesia, Encik Muhaimin Iskandar, berkata satu pasukan kedutaan telah dihantar ke bandar Abha di Arab Saudi, untuk menyiasat dakwaan bahawa seorang pembantu rumah Indonesia yang berusia 36 tahun, Cik Kikim Komalasari, telah dibunuh oleh majikannya.Leher pembantu berkenaan dikelar dan beliau mengalami kesan kelaran teruk di seluruh tubuhnya, kata Encik Muhaimin.'Amat mengejutkan apabila mendengar semua ini... ia tidak berperikemanusiaan,' kata Presiden Yudhoyono, tetapi menambah bahawa beliau berpuas hati dengan respons pantas kerajaan Arab Saudi terhadap kes tersebut.'Saya berharap para pelakunya akan dihukum mengikut undang-undang,' ujarnya.Laporan itu muncul sedang satu pasukan pegawai Indonesia berangkat ke Timur Tengah bagi mendapatkan keadilan dan bantuan perubatan untuk seorang lagi pembantu rumah, Cik Sumiati Salan Mustapa, yang terpaksa dirawat di hospital di Madinah sejak 8 November lalu.Majikan pembantu rumah yang berusia 23 tahun itu didakwa membakar, mematahkan jari hantunya dan menggunting bibirnya.Awal minggu ini, sebuah kumpulan hak asasi yang berpangkalan di New York, Human Rights Watch (HRW), menggesa Arab Saudi, Jordan dan Kuwait agar melakukan lebih banyak lagi bagi melindungi nasib pembantu rumah di negara masingmasing sambil berkata bahawa dakwaan mengenai penderaan pekerja seperti itu mencerminkan satu 'pola penderaan yang lebih meluas'.Mereka berkata demikian sebagai mengulas laporan-laporan bahawa seorang pembantu rumah Sri Lanka yang bekerja di Jordan telah dipaksa menelan paku.Seorang lagi pembantu rumah di Kuwait mendakwa majikannya memaku badannya.'Kekejaman secara wewenang dalam kes-kes ini amat mengejutkan,' kata Cik Nisha Varia, seorang pengkaji HRW, yang menggesa pihak berkuasa itu agar menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut dengan segera dan menghadapkan mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. -- AP.

No comments:

Post a Comment