Sunday, November 21, 2010

Wanita gemar berjudi di Singapura





JOHOR BAHRU 20 Nov. - Kira-kira 40 peratus atau 1,200 rakyat Malaysia yang aktif berjudi di kasino negara jiran ialah golongan wanita termasuk suri rumah berusia 40 tahun ke atas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong (gambar) berkata, mereka mudah terpengaruh dengan tawaran yang disediakan pihak kasino iaitu perkhidmatan pengangkutan secara percuma dan pemberian baucer tunai S$30 (RM72) sekiranya berjudi di sana.
Beliau berkata, pihak kasino memberi S$10 untuk membeli makanan, barangan lain dan menukar cip.
"Penganjur kasino di Singapura bijak. Mereka memberi baucer S$30 kepada pengunjung dan secara logik pengunjung tidak hanya berbelanja pada kadar tersebut. Mereka sekurang-kurangnya membelanjakan kira-kira S$200.
"Apabila mendengar tawaran tersebut, golongan wanita yang kebanyakannya suri rumah dan bekerja sendiri menggunakan peluang yang ada dengan harapan mampu membawa balik pulangan besar," katanya semasa dihubungi Mingguan Malaysia di sini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan rakyat tempatan semakin aktif berjudi di kasino negara jiran dengan nilai pertaruhan dianggarkan kira-kira RM7 juta sehari.
Malah, dianggarkan seramai 3,000 orang mengunjungi Singapura untuk berjudi di kasino setiap hari dengan nilai perbelanjaan minimum RM2,400 seorang iaitu bersamaan RM7 juta sehari atau RM200 juta sebulan.
Siew Kiong berkata, selain menggunakan perkhidmatan bas, difahamkan ada 'kaki judi' menggunakan pengangkutan sendiri untuk memasuki Singapura.
"Difahamkan kira-kira 500 buah kereta persendirian akan berulang- alik ke lokasi perjudian tersebut selepas pukul 7 malam," ujarnya.
Ketagihan terhadap aktiviti tersebut, menurutnya, bukan sahaja mendedahkan diri mereka untuk meminjam wang daripada ceti haram atau ah long, tetapi boleh menjejaskan hubungan suami isteri sehingga mencetuskan pergaduhan dan penceraian.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya menerima 22 aduan dalam tempoh tiga bulan daripada peniaga khususnya di bandar raya ini.
Beliau berkata, kebanyakan peniaga yang terdiri daripada pengusaha pusat hiburan, pusat beli-belah, cuci kereta, pusat refleksologi dan makanan mengadu perniagaan mereka terjejas teruk akibat kekurangan pelanggan.
"Mereka mengadu perniagaan kurang memberangsangkan kerana ramai pelanggan cenderung 'bersuka ria' di Singapura. Mereka tidak gembira dengan situasi berkenaan," katanya.
Seperti Siew Kiong, Chee Boon turut menyeru kerajaan melakukan sesuatu dengan segera kerana pengaliran wang keluar kira-kira RM7 juta sehari itu merupakan pembaziran yang besar.

No comments:

Post a Comment