Sunday, December 26, 2010

Biar polis buat siasatan



SHAH ALAM – Pas menyerahkan siasatan berhubung kes bekas anggota Bahagian Keselamatan Pas Pasir Puteh, Saidi Husin yang didakwa diserang sekumpulan lelaki kerana membuat pendedahan seorang wakil rakyat Pas yang didakwa berzina dengan isteri orang. 

Ketua Dewan Pemuda Pas Nasrudin Hassan berkata, parti itu tidak akan menjalankan siasatan dalaman sebaliknya menyerahkan kes tersebut sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung motif serangan tersebut. 

“Kita serah kepada pihak polis sahaja,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, semalam 

Saidi mendakwa diserang oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh kelmarin namun tidak menghadapi sebarang kecederaan hanya bajunya terkoyak akibat tetakan yang dilakukan tiga lelaki kira-kira jam 11.30 malam. 

Beliau mendakwa serangan terhadapnya itu berkemungkinan berpunca daripada pendedahannya mengenai skandal khalwat tersebut dalam beberapa siri ceramahnya di sekitar kawasan Pasir Puteh. 

Beliau yang keluar daripada Pas pada Oktober lalu berkata, keretanya telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza secara tiba-tiba dalam perjalanan ke rumah rakannya di Jalan Dalam Rhu, Selasa lalu. 

Terdahulu, beberapa buah laman blog termasuk ‘Papa Gomo’ mendedahkan mengenai seorang wakil rakyat Pas dari kawasan Selising, Pasir Puteh telah ditangkap khalwat dalam koc VIP kereta api beberapa tahun lalu. 

Sebelum ini, Pas Kelantan turut menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Drs Saipul Bahrin Mohamad pernah ditangkap kerana berzina dengan isteri orang. 

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya dalam kajian untuk mengambil tindakan itu terhadap mana-mana pengendali blog, penceramah atau mereka yang terbabit dalam penyebaran fitnah itu. 

“Jika ada bukti tunjukkan (kepada kami). Penyebaran fitnah ini dakyah politik semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin Pas cara tidak bermaruah. Sebelum ini calon ADUN Galas juga pernah menjadi mangsa tetapi apabila Pas kata hendak bertindak, mereka tarik balik dan minta maaf. 

“Penyebaran fitnah disedari dalam minggu ini dan ia ditimbulkan semula oleh musuh politik semata-mata untuk membunuh karakter seseorang individu seperti yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment