Sunday, December 26, 2010

Suami berkorban jaga isteri koma



KUANTAN – Kasih suami tiada batasnya. Begitulah besarnya pengorbanan seorang suami dari Felda Bukit Goh di sini, yang tabah menghadapi ujian apabila isterinya terlantar koma sejak tiga bulan lalu.

Zulkifli Abdullah, 44, yang merupakan pesara tentera kini terpaksa menjaga isterinya, Siti Nor Athirah Mohd Yunos, 39, sepenuh masa apabila ibu beranak lima itu koma selepas terjatuh di hospital semasa ditahan di wad.

Menurutnya, isterinya ditahan di wad kerana disyaki menghidap denggi namun koma akibat terjatuh dan matanya terkena bucu katil.

“Selepas terjatuh dia masih sedar namun mula bercakap tidak tentu arah. Dia kemudiannya diserang sawan sebanyak empat kali dan selepas serangan keempat, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, kelmarin.

Katanya, doktor memaklumkan isterinya mengalami komplikasi akibat jangkitan kuman di otak namun tidak dapat mengesahkannya biarpun selepas imbasan otak dibuat.

“Doktor juga sudah mengambil air tulang belakangnya untuk diuji dan setakat ini kami masih menunggu keputusan ujian.

“Mereka juga membenarkan saya membawa isteri pulang ke rumah dua minggu lalu apabila dia tidak lagi bergantung kepada mesin,” katanya.

Zulkifli berkata, dia kini hilang punca pendapatan apabila terpaksa berhenti menjadi pemandu lori kerana mahu menjaga isteri dan anak-anaknya sepenuh masa.

“Dia tidak memberikan apa-apa tindak balas dan setiap empat jam sekali, saya memberikannya minum susu melalui tiub yang disambung ke perut.

“Harga susunya juga mahal iaitu sekitar RM70 setin dan hanya bertahan empat hari sahaja,” katanya.

Menurutnya, belanja lampin pakai buang juga tinggi dan mereka sekeluarga terpaksa berjimat cermat memandangkan dua anaknya masih lagi bersekolah.

“Anak sulung saya, Shafimer, 18, belajar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), anak kedua baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua lagi dihantar tinggal dengan saudara di Kelantan selepas ibu mereka sakit.

“Saya juga belum pasti sama ada mahu menukarkan mereka supaya bersekolah di sana memandangkan saya sibuk menguruskan ibunya di sini,” katanya.

Katanya, dia kini menjalankan perniagaan gunting rambut secara kecil-kecilan di rumah untuk menambah pendapatan.

“Saya berharap agar ada pihak sudi memberi bantuan peralatan menggunting kerana saya berhasrat hendak bekerja di rumah.

“Doktor juga ada menasihatkan saya supaya sentiasa bercakap dengannya dan mengurut badannya supaya tidak kaku,” katanya.

Penderitaan Zulkifli sekeluarga sedikit terubat apabila menerima kunjungan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Turut hadir memberikan sokongan ialah kira-kira 50 ahli Wanita UMNO Cawangan Felda Bukit Goh yang sama-sama membacakan yasin untuk Nor Athirah.

No comments:

Post a Comment