Sunday, December 26, 2010

Penduduk rayu bina segera kemudahan asas



TIGa orang penduduk bermotosikal meredah lumpur dan jalan berlubang di Kampung Kuala Sat, Jerantut, semalam.


JERANTUT 24 Dis. - Seramai 800 penduduk Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling dekat sini meminta kerajaan negeri melaksanakan segera beberapa kemudahan asas termasuk penempatan baru supaya ia tidak tersisih daripada arus pembangunan.
Antara kemudahan yang perlu dibina adalah seperti jalan kampung sejauh tujuh kilometer, padang permainan dan rekreasi, masjid baru serta penempatan semula penduduk Kampung Jipang di bawah JKKK Kuala Sat.
Tinjauan Utusan Malaysia bersama JKKK Kuala Sat mendapati usaha memohon kemudahan tersebut kepada kerajaan negeri dan pentadbiran daerah Jerantut bermula sejak 15 tahun lalu, tetapi belum menampakkan hasilnya.
Bekas Ketua Kampung Kuala Sat, Sidek Mahusin, 58, berkata, dua agenda utama pembangunan yang dipohon oleh JKKK terbabit sejak 15 tahun lalu belum dilaksanakan oleh kerajaan negeri iaitu pembinaan masjid baharu dan jalan kampung.
''Paling menyedihkan keadaan masjid kayu lama yang berusia 50 tahun sudah uzur dan hampir roboh, tetapi belum ada projek baru walaupun sudah banyak kali permohonan telah dibuat," katanya kepada ketika ditemui di Kuala Sat dekat sini hari ini.
Sidek berkata, projek jalan kampung sejauh tujuh kilometer sehingga kini belum menampakkan tanda dan menyukarkan penduduk membawa hasil kampung ke jeti untuk dipunggah dengan bot penambang Sungai Tembeling ke bandar Jerantut.
Seorang Penduduk Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, 39, berkata, jalan kampung yang berturap simen dibina 25 tahun lalu di bawah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Pahang Barat sudah rosak dan keadaan berlumpur teruk ketika musim tengkujuh.
''Kita kesal kerana projek jalan sudah dibina di beberapa kampung berdekatan sedangkan penduduk di sini masih menunggu," katanya.
Seorang belia, Ahmad Shamsuddin, 32, berkata, kegiatan riadah dan rekreasi golongan remaja dan belia di Kampung Benih, Kampung Baru, Kampung Olak Koh, Kampung Belutin dan Kampung Jipang lesu kerana ketiadaan padang permainan bola sepak dan gelanggang bola jaring.
''Ketiadaan kemudahan itu menyebabkan belia tidak ada tempat beriadah pada waktu petang dan musim cuti persekolahan sehingga ada segelintir yang menghabiskan masa dengan kegiatan tidak berfaedah," katanya.
Menurutnya, sepatutnya pihak berwajib wajar membina kemudahan berkenaan kerana masih ada tanah milik kerajaan boleh dibangunkan untuk projek padang permainan seperti, gelanggang futsal, sepak takraw dan bola jaring.
Bagi penduduk Kampung Jipang, Daud Jawi, 52, berkata, seramai 20 keluarga telah meminta kerajaan menyediakan tapak perumahan di bawah pentadbiran JKKK Kuala Sat bagi mengurangkan kos bebanan ulang alik mengunakan bot.
''Kita terpaksa menaiki bot penambang dan membelanjakan satu liter petrol untuk membeli keperluan dapur dengan mengambil masa selama 15 minit untuk sampai di jeti Kuala Sat ketika hendak berurusan ke bandar Jerantut," katanya.
Daud berharap, kerajaan dapat menyediakan tapak perumahan tersebut untuk mereka berpindah supaya dapat menjamin kehidupan yang lebih selesa dan tidak tertekan dengan kedaifan yang dilalui sejak negara merdeka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri tidak 'terlepas pandang' atau menolak projek pembangunan yang dipohon oleh JKKK Kuala Sat.
''Kita tidak menolak permohonan JKKK berkenaan tetapi perlu mengkaji dari segi peruntukan yang lebih relevan dan mengikut keutamaan untuk projek kemudahan asas di sesebuah tempat.
''Misalnya projek masjid baru perlu peruntukan lebih besar memandangkan kapasiti penduduknya ramai dan mengkaji dengan teliti untuk dipertimbangkan dalam rancangan pembangunan akan datang," katanya.
Wan Amizan berkata, beliau dengan kerjasama pegawai daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan meninjau kampung berkenaan tidak lama lagi khususnya untuk menaiktaraf prasarana tertentu supaya dapat memberi keselesaan penduduk di situ.

No comments:

Post a Comment