Sunday, December 26, 2010

Pendedahan dokumen Apco tindakan terancang UMNO: Anwar



SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa tindakan kerajaan mendedahkan dua dokumen bagi membuktikan konsep 1Malaysia tiada kaitan langsung dengan ‘One Israel’ sebagaimana yang didakwanya bertujuan membunuh karakter beliau sebagai tokoh politik. 

Beliau juga mendakwa pendedahan dokumen tersebut dan penggantungan empat ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai tindakan terancang UMNO- Barisan Nasional. 

“Tindakan UMNO-BN mendedahkan dua dokumen tersebut tidak lebih daripada usaha agar media memainkan isu itu bagi memastikan tiada penelitian ‘bukti’,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini semalam. 

Kerajaan sebelum ini mendedahkan dua dokumen bagi membuktikan konsep 1Malaysia tiada kaitan langsung dengan ‘One Israel’ seperti didakwa Anwar. Dokumen itu berupa surat penafian Apco Worldwide (Apco) mengenai pembabitannya dalam penggubalan konsep 1Malaysia dan One Israel serta kenyataan bersumpah penasihat kanan kempen ‘One Israel’ pada 1999, Robert M Shrum. 

Surat Apco bertarikh 19 Ogos 2010 kepada Parlimen yang dijadikan bukti utama dalam siasatan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung dakwaan Anwar, menjelaskan firma itu dilantik pada Jun 2009 bagi menyediakan sokongan komunikasi kepada Kerajaan Malaysia. 

Ketua Eksekutif Apco (Timur Tengah Eropah dan Afrika), Brad Staples, dalam surat itu juga menjelaskan firma berkenaan tiada kaitan dengan One Israel dan tidak terbabit dalam pembentukan konsep 1Malaysia. Penafian Staples diperkukuhkan lagi dengan kenyataan bersumpah penasihat kanan kempen ‘One Israel’ pada 1999, Robert M Shrum.

No comments:

Post a Comment