Wednesday, December 15, 2010

Jatuh motosikal perkara biasa





SEMELING - Jatuh motosikal, pakaian anak ke sekolah kotor dan rutin menukar tayar motosikal setiap bulan sudah menjadi perkara biasa kepada penduduk di Kampung Air Nasi, di sini. 

Ia berikutan jalan utama kampung itu rosak teruk. 

Penduduk, Abdul Rahman Sulong, 52, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tam berkata, jalan berturap sepanjang lebih kurang 3 kilometer kampung itu rosak teruk akibat daripada kenderaan berat yang kerap melaluinya. 

“Sejak 20 tahun lalu, kampung kami diteroka orang luar yang membuka kolam udang dan ikan. Akibatnya kenderaan berat seperti jentolak, lori muatan berat dan sebagainya sering keluar masuk menggunakan jalan kampung ini. 

“Ini menyebabkan jalan kampung semakin hari semakin rosak teruk, berlopak di sini sana, sampaikan penduduk yang menaiki motosikal sering terjatuh akibat jalan berlopak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kampung itu. 

Abdul Rahman berkata, sudah menjadi perkara biasa di kampung itu setiap bulan ada sahaja penduduk kampung yang terjatuh dari motosikal akibat tidak dapat mengelak lopak. 

Menurutnya, anak mereka yang menaiki basikal ke sekolah juga turut terkena tempiasnya apabila belum sempat sampai ke sekolah, pakaian sekolah sudah dikotori dengan lumpur dan sebagainya akibat jalan rosak, berlopak dan menakung air hujan. 

“Dua bulan lepas penduduk telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha kolam udang dan ikan di sini dan mereka berjanji untuk membaik pulih jalan yang rosak. 

“Namun amat mengecewakan apabila mereka hanya menabur batu kelikir ke dalam lopak-lopak itu sahaja tanpa membaiki sepenuhnya,” katanya. 

Abdul Rahman berkata, sudah berulang kali aduan mengenai masalah jalan rosak sejak lima tahun lalu itu dibuat kepada pihak bertanggungjawab namun masih tidak ada sebarang tindakan diambil. 

Penduduk berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera terhadap masalah jalan rosak di kampung mereka dengan menurap keseluruhan jalan sebelum ia lebih memudaratkan.

No comments:

Post a Comment