Wednesday, December 15, 2010

Kutip hasil pasir RM5.012 juta





KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri telah mengutip hasil sebanyak RM5.012 juta daripada aktiviti pengambilan pasir di negeri ini dalam tempoh tiga tahun, iaitu sejak tahun 2007. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan Dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera (BN-ADUN Chukai) berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.672 juta dikutip pada 2007, RM1.1745 juta (2008) dan RM1.595 juta (2009). 

Menurutnya, berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing, sebanyak 15 lesen telah dikeluarkan pada 2007, 2008 (13 lesen) dan 2009 (15 lesen) iaitu di Kuala Terengganu manakala di Kemaman, lapan lesen dikeluarkan pada 2007, 2008 (9 lesen) dan 2009 (11 lesen). 

“Bagi daerah Dungun pula, sebanyak lima lesen telah dikeluarkan pada 2007, 2008 (12 lesen) dan 2009 (12 lesen) manakala sebanyak lima lesen dikeluarkan di Besut pada 2007 dan 2008 serta empat lesen pada 2009,” katanya. 

Menurutnya, di Hulu Terengganu pula, sebanyak 22 lesen dikeluarkan pada 2007, 2008 (24 lesen) dan 2009 (23 lesen) manakala di Setiu pula sebanyak 12 lesen dikeluarkan pada 2007, 2008 (17 lesen) dan 2009 (18 lesen). 

“Marang tidak mengutip sebarang hasil daripada aktiviti pengambilan pasir susulan tiada lesen dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dan tambahan yang dikemukakan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-ADUN Wakaf Mempelam) pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di sini, semalam. 

Menurut Mohamed lagi, pihaknya mengakui berlaku kes pelanggaran syarat lesen dan kecurian pasir, namun menyatakan kes yang berlaku adalah kecil. 

“Bagi mengelakkan kes ini menjadi lebih buruk seperti mana yang berlaku di Selangor, kita telah menubuhkan satu pasukan pemantau bagi memantau segala aktiviti pengambilan pasir di negeri ini. 

“Badan pemantau itu diketuai Pejabat Tanah dan Galian, selain dianggotai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pentadbir-pentadbir tanah di setiap daerah,” katanya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan lesen dengan mudah kerana berdasarkan rekod, jumlah yang dikeluarkan setiap tahun tidak melebihi 100 lesen dan ia akan dinilai semula setiap dua tahun dari segi keberkesanannya.

No comments:

Post a Comment