Wednesday, December 15, 2010

Selangor akan ambil tindakan mahkamah terhadap SYABAS




2010/12/15

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menunggu masa yang sesuai sebelum mengambil tindakan mahkamah terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) termasuk menarik lesen syarikat berkenaan dari terus menguruskan perkhidmatan bekalan air di negeri itu. 

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ini kerana SYABAS masih meneruskan program Tabung Budi di negeri itu walaupun telah diarahkan memberhentikannya.
"Kita masih menanti jawapan daripada mereka dan bila mereka teruskan maka lebih mudah untuk kita buktikan di mahkamah bahawa mereka telah melanggar perjanjian untuk menguruskan bekalan air," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco negeri di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata, Syabas tidak berhak mengutip derma daripada mana-mana individu pengguna air yang mendapat subsidi daripada kerajaan negeri menerusi tabung itu. 

Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lalu membabitkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan dan diserahkan kepada SYABAS. 

Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih berikutan kegagalan mereka membayar bil. 

Kerajaan negeri pada 23 November lalu telah menghantar notis kepada SYABAS supaya menghentikan program Tabung Budi dalam masa 14 hari kerana ia didapati melanggar syarat perjanjian konsesi air. 
Notis bertarikh 23 November itu dikeluarkan oleh Pengarah Kawal Selia Air Selangor, Nor Azmi Diron, mengikut Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment