Sunday, March 20, 2011

Jepun cuba pulih kabel loji nuklear



TOKYO - Sekumpulan jurutera Jepun sedang bertungkus-lumus memulihkan kabel elektrik dengan harapan dapat mengembalikan tenaga kepada dua reaktor untuk menyalurkan air bagi mengekalkan tahap kedinginan, sekali gus mengelakkan kebocoran radiasi, semalam.

Lebih 20 pekerja loji itu dilaporkan cedera manakala lebih 20 penduduk sekitar Jepun terdedah kepada kesan radioaktif.

Bagaimanapun, kerja-kerja itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada helikopter melepaskan air laut dari udara ke atas loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, yang terletak kira-kira 240 kilometer utara Tokyo.

Meskipun mereka berjaya menyambung semula tenaga elektrik itu namun belum ada kepastian sama ada pam tersebut boleh digunakan untuk menyalurkan air bagi mengekalkan tahap kedinginan reaktor memandangkan ia kemungkinan sudah rosak dalam bencana yang melanda negara itu.

”Kerja pembaikan belum menampakkan sebarang kemajuan setakat ini seperti yang diharapkan," kata seorang pegawai SyarikatBekalan Tenaga Elektrik Tokyo (Tepco).

No comments:

Post a Comment