Sunday, March 20, 2011

Taib mahu berundur selepas Pilihan Raya Sarawak



SERIAN 19 Mac - Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan beliau akan berundur selepas mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Beliau yang mengesahkan akan bertanding pada pilihan raya itu berkata, keputusan untuk mengetuai jentera BN hanyalah bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan pemimpin baru dapat dikenal pasti.
Katanya, apabila pemimpin berkenaan dapat membentuk satu pasukan yang mantap dan menyeluruh merangkumi semua kaum di negeri ini, beliau akan melepaskan jawatannya.
"Kemungkinan saya akan bersara adalah sudah dekat, saya akan mengetuai pilihan raya nanti tetapi hanya untuk memastikan semua perkara berjalan lancar dan pemimpin baru dapat dilahirkan," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Sejiwa Senada Bahagian Samarahan, di sini hari ini.
Abdul Taib merupakan Ketua Menteri yang keempat selepas Datuk Stephen Kalong Ningkan, Datuk Penghulu Tawi Sli dan Tun Abdul Rahman Ya'kub sejak jawatan itu diperkenalkan pada 1963. Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 1981.
Abdul Taib dalam ucapannya itu berkata, beliau sudah lama berkhidmat untuk Sarawak dan sedar bahawa suatu hari nanti terpaksa berundur.
"Saya orang tua, bukan macam (Perdana Menteri) Datuk Najib, masih handsome masih muda, ataupun timbalannya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang manis dengan misainya.
"Tetapi saya tidak mahu cita-cita saya (untuk memajukan Sarawak) mati dengan diri saya sendiri, saya mahu ia terus hidup selama mungkin," tegasnya.
Dalam pada itu, Abdul Taib memberikan gambaran umum berhubung pelan peralihan kuasa apabila berkata, pemimpin yang terlibat perlu diberi latihan terlebih dahulu.
Beliau berkata, proses memberi latihan itu sebenarnya telah lama dilaksanakan sehingga dalam kerajaan negeri sekarang hanya beliau dan Alfred Jabu yang merupakan pemimpin veteran.
Menjawab soalan apakah beliau akan berundur pada pertengahan penggal, Abdul Taib berkata, "Mungkin, saya harap pada masa itu semua orang sudah bersedia. Sebenarnya saya berniat untuk berundur pada 2006 tetapi ia tidak dapat dilakukan, jadi saya tangguhkan."

No comments:

Post a Comment