Sunday, March 20, 2011

Kris Dayanti, Raul bernikah hari ini


MAJLIS pernikahan artis Indonesia, Kris Dayanti dan Raul Lemos di Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Grand Sahid Jaya dekat Jakarta, hari ini. - Foto BERNAMA 



2011/03/20


JAKARTA: Diva Indonesia Kris Dayanti dan kekasihnya Raul 
Lemos menyempurnakan kisah percintaan mereka dengan ikatan pernikahan pada satu
majlis yang sederhana di Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Grand Sahid Jaya, Jalan Sudirman, Jakarta Pusat, hari ini. Mereka dinikahkan bapa Kris, Trenggono dengan disaksikan oleh bekas Naib
Presiden Indonesia, Tri Sutrisno yang mewakili Kris dan Arif Abdullah Saga, 
wakil Raul dan selepas akad nikah, pasangan pengantin baru itu terus mempamerkan 
kemesraan melalui kucupan bibir di hadapan para tetamu. 
Ini adalah pernikahan kedua bagi kedua-dua pasangan itu setelah rumah tangga 
mereka sebelum ini gagal. 
Kris adalah bekas isteri penyanyi dan komposer ternama Anang Hermansyah, 
manakala Raul, seorang usahawan dari Timor Leste pula gagal dalam rumah tangganya sebelum ini dengan Silvalay Noor Athalia atau mesra dengan panggilan 
Atha. 
Kisah percintaan Kris dan Raul diwarnai dengan pelbagai halangan kerana 
sebelum bercerai dengan Raul, Atha pernah melemparkan tuduhan bahawa Kris adalah 
perosak rumahtangganya, namun halangan itu berakhir setelah Raul sah bercerai 
dengan Atha pada 21 Dis tahun lalu. 
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Harapan dan doa saya rumah tangga 
saya kali ini akan lebih rukun dan damai serta dirahmati Allah," kata Kris pada 
sidang akhbar bersama suaminya sejurus selepas majlis pernikahan. 
Pasangan mempelai itu juga menemui orang tua masing-masing untuk mendapatkan 
restu. Ibu Raul, Esmeralda yang kini menetap di Lisbon, Portugal turut hadir 
memberi restu kepada anak dan menantunya. 
Majlis pernikahan Kris dan Raul dihadiri kira-kira 100 orang yang terdiri 
daripada kaum keluarga serta rakan-rakan terdekat pasangan itu termasuk 
artis-artis popular Indonesia seperti Rossa, Iis Dahlia dan Desi Ratnasari. 
Majlis resepsi perkahwinan mereka dijadual di Hotel Mulia, Senayan, Jakarta, 
pada Jumaat ini, iaitu sehari selepas hari ulang tahun kelahiran Kris Dayanti.-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment