Tuesday, June 28, 2011

Ibrahim dipanggil beri keterangan isu ucapan berunsur hasutan



IBRAHIM Ali melambai tangan ke arah petugas media selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Jun - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung ucapan beliau di Kampung Baru pada 19 Jun lalu yang dikatakan berunsur hasutan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pasir Mas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada pukul 11.50 pagi untuk siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Ibrahim ketika ditemui selepas diambil keterangan selama dua jam menegaskan, Perkasa tidak akan membatalkan perhimpunan pada 9 Julai ini, jika Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tetap ingin meneruskan perhimpunan haram itu.

"Ingin saya tegaskan pendirian kita (Perkasa) mudah. Jika Bersih membatalkan perhimpunan itu, maka kita juga akan melakukan perkara sama.

"Sebaliknya, jika mereka teruskan, kita juga akan meneruskan bagi mempamerkan kepada dunia tindakan Bersih itu bukan mewakili seluruh rakyat.

"Ia tindakan sebahagian daripada golongan tertentu yang didalangi oleh parti pembangkang yang semata-mata ingin membuat kekecohan," katanya.

Tambah Ibrahim, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar perlu bertindak tegas dan menggunakan undang-undang sedia ada bagi mengekang perhimpunan haram itu.

"KDN dan pihak polis sewajarnya tidak hanya memberi kata dua kepada kumpulan itu untuk berhimpun. Kalau ia perlu ditangkap, maka tangkap.

"Jangan tunggu nasi menjadi bubur dan menunggu masa yang panjang kerana keadaan akan menjadi lebih buruk jika bertindak selepas perkara itu berlaku," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment