Tuesday, June 28, 2011

'Tak salah'

KUALA LUMPUR: “Itu kaedah dakwah digunakannya tetapi dia tidak boleh berkata pendekatan orang lain salah,” kata penyanyi nasyid, pengacara dan komposer, Hafiz Hamidun berhubung kenyataan vokalis kumpulan E.Y.E tidak pernah wujud cara berdakwah menerusi lagu.

Hafiz berkata, kaedah dakwah tidak boleh disempitkan dengan cara berjumpa orang ramai dari rumah ke rumah semata-mata sebaliknya ia boleh diperkembangkan terutama di zaman teknologi.


“Rasulullah s.a.w bersabda, sampaikan dariku walaupun satu ayat. Jadi apa salahnya menggunakan kaedah bersesuaian dengan perkembangan zaman dan muzik serta lagu boleh menjadi satu pendekatan berdakwah.

“Menerusi lagu, pendengar boleh mengetahui perjalanan hidup Rasulullah, rukun iman dan rukun Islam, malah ia boleh didengar berulang kali. Dakwah melalui nasyid nampak kecil tetapi kesan sebenar lebih besar,” katanya yang dihubungi semalam.

Harian Metro semalam melaporkan vokalis E.Y.E, Mohd Izam Mohd Arshad yang menyertai kumpulan tabligh sejak enam tahun lalu menyifatkan lagu walaupun berkonsepkan ketuhanan tidak boleh disifatkan dakwah.


Menurutnya, jika boleh berdakwah dengan hanya menyanyi, sudah tentu Rasulullah s.a.w melaksanakannya terlebih dulu.


Mohd Izam berkata, ada dua hak yang perlu dilakukan pendakwah iaitu berjumpa orang ramai dari rumah ke rumah mengajak melakukan ibadat dan kebaikan serta berdoa kebaikan pada sepertiga malam menerusi solat tahajud manakala ketentuan seseorang itu mendapat hidayah menjadi hak Allah.

Hafiz berkata, dakwah boleh dilaksanakan dari rumah ke rumah tetapi ia memerlukan masa, kos serta penerimaan orang ramai.


“Di zaman sekarang pelbagai pendekatan boleh digunakan, kalau bukan menerusi muzik, dakwah boleh dilakukan di kaca televisyen.

“Jadi kita janganlah membuat tafsiran sempit mengenai dakwah hanya kerana cara berbeza yang penting matlamat kita memberi nasihat dan kebaikan kepada orang ramai,” katanya.

myMetro | 'Tak salah'

No comments:

Post a Comment