Tuesday, June 21, 2011

Khir sokong syarikat Shamsuddin

SHAH ALAM 20 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Dr. Mohamad Khir Toyo pernah menyokong permohonan syarikat Proniaga Sdn. Bhd. (Proniaga), milik ahli perniagaan, Datuk Shamsuddin Hayroni bagi membangunkan projek perumahan di Bangi.

Bekas Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Harun Salim dalam keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-11 hari ini, mengesahkan tulisan tangan berbunyi ‘permohonan disokong, harap tiada halangan kelulusan’ pada surat permohonan syarikat itu bertarikh 30 Oktober 2000, milik bekas Menteri Selangor itu.

‘‘Surat itu adalah permohonan untuk menjalankan usaha sama dengan PKNS bagi memajukan satu kawasan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi yang berkonsepkan bandar universiti,’’ katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud pada perbicaraan terhadap Mohamad Khir. Perbicaraan masuk hari ketujuh hari ini.

Jelas beliau, permohonan tersebut dipersetujui selepas kertas kerja berhubung cadangan pembangunan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penswastaan PKNS yang dipengerusikan oleh Mohamad Khir.

Menurut Harun, Mohamad Khir turut memberi sokongan bagi permohonan Proniaga untuk dikecualikan daripada jaminan bon pelaksanaan bagi projek tersebut.

Surat permohonan Proniaga bertarikh 18 Julai 2001 yang mempunyai tulisan tangan Mohamad Khir berbunyi ‘syarikat mempunyai track record yang baik’ dan ‘syarikat milik bumiputera’ turut dikemukakan oleh pihak pendakwaan kepada mahkamah sebagai bahan bukti.

‘‘Selepas menerima surat itu, saya berbincang dengan Timbalan Pengurus Besar PKNS bagi menyelesaikan masalah tersebut.

‘‘Sebagai pilihan lain, bon pelaksanaan sebagai jaminan syarikat Proniaga akan menyiapkan projek tersebut digantikan dengan Jaminan Pengarah-Pengarah dan Pemegang Saham,’’ jelas beliau.

Semasa disoal balas oleh peguam, M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir, saksi tersebut bagaimanapun mengakui kelonggaran itu dibuat mengikut prosedur selain ia tidak diberi kepada syarikat Proniaga sahaja.

Harun turut menafikan wang RM2 juta dikemukakan oleh Shamsuddin bagi mendapatkan Jaminan Pengarah-Pengarah dan Pemegang Saham, sebaliknya ia adalah pendahuluan daripada 20 peratus keuntungan yang perlu dikembalikan kepada PKNS.

Saksi itu turut mengakui bahawa perbincangan diadakan bersama Mohamad Khir berhubung permohonan Proniaga atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penswastaan.

‘‘Sekiranya beliau sebagai pengerusi menolak permohonan itu, ia tetap akan dibawa ke dalam mesyuarat ahli jawatankuasa penswastaan. Sebagai Pengurus Besar, saya juga boleh membuat keputusan berhubung projek PKNS,’’ katanya lagi.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan Zaharah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53.

Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment