Tuesday, June 21, 2011

Penculik Nazar sedia bincang pembebasan

Pemuda UMNO tunggu tempoh 7 hari sebelum bertolak ke Jolo

KUALA LUMPUR: Kumpulan penculik yang menahan rakyat Malaysia, Mohd Nazarrudin Saidin, 38, di Pulau Jolo, selatan Filipina meminta tempoh tujuh hari untuk memberi kata putus sama ada akan membenarkan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO menjadi orang tengah merundingkan pembebasan lelaki itu.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata perkara itu dinyatakan sendiri oleh perantara kumpulan penculik berkenaan menerusi panggilan telefon kelmarin.
“Biro ini sedia memulakan rundingan pada bila-bila masa dan sudah membuat persiapan berlepas ke Pulau Jolo minggu ini. Bagaimanapun, disebabkan belum ada kata putus ini, kita terpaksa menangguhkan penerbangan ke sana, ” katanya pada sidang media di ibu negara, semalam.
Mohd Nazarrudin, seorang penganggur dari Sungai Buluh, diculik oleh 10 lelaki bersenjata yang menyerbu rumah penginapannya di Indanan, Jolo pada 8 Mei lalu, ketika dalam proses melakukan urus niaga membeli tokek, sejenis cicak yang ditawarkan dengan harga tinggi di pasaran gelap.

Kumpulan penculik berkenaan sebelum ini menuntut wang tebusan sebanyak RM5.6 juta bagi membebaskan Nazarrudin.

Berita Harian dihubungi kumpulan penculik berkenaan semalam mengesahkan, Nazarrudin semakin pulih selepas diberikan ubat yang dibeli kumpulan terbabit.
Beliau dilaporkan tenat sejak dua minggu lalu selepas tidak lalu makan kerana terlalu merindui enam anak dan keluarganya di Malaysia.
“Beliau OK, kesihatannya sudah bertambah baik,” kata jurucakap kumpulan penculik itu menggunakan dialek Sabah.
Berita Harian Online | Penculik Nazar sedia bincang pembebasan

No comments:

Post a Comment