Tuesday, June 21, 2011

Pejabat ADUN Petagas musnah terbakar

KOTA KINABALU: Beratus-ratus fail dan pelbagai kelengkapan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Yahya Hussin di tingkat dua sebuah bangunan kedai di pekan Putatan, kira-kira 15 kilometer (km) dari sini, musnah dalam kebakaran pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, pejabat yang menjadi pusat pentadbiran kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas dan tempat untuk orang ramai, terutama pengundi bertemu wakil rakyat terbabit musnah, dipercayai akibat litar pintas.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian, 11 kakitangan di pejabat itu dikatakan bertugas di luar pejabat, selain ada yang bercuti.
Penolong Penguasa Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Razali Awang Mat Salleh, berkata bomba yang menerima panggilan jam 11.54 pagi segera menghantar empat jentera dari Penampang dan Sembulan dengan 35 anggota ke tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati api bermula dari bilik berkenaan. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang kakitangan pejabat berkenaan, Faridah Abdullah, 42, berkata ketika kejadian dia baru keluar dari pejabat kerana ingin ke pejabat UMNO Bahagian Putatan.

"Kira-kira lima minit keluar dari pejabat, saya menerima panggilan seorang kawan yang memaklumkan kejadian itu. Saya bergegas semula ke pejabat dan terkejut apabila melihat api marak," katanya.
Sementara itu, pekerja sebuah syarikat bersebelahan pejabat berkenaan, Ronald Key, 30, berkata ketika kejadian dia dan dua rakannya berada di pejabat mereka.

"Tiba-tiba kami terbau benda terbakar. Kami terus mengesan bau itu datang. Saya terkejut apabila mendapati api marak di pejabat sebelah. Kami terus menghubungi bomba," katanya.
Berita Harian Online | Pejabat ADUN Petagas musnah terbakar

No comments:

Post a Comment