Friday, July 1, 2011

Dua wakil rakyat ditahan



CHAN Ming Kai ditahan polis kerana cuba mempromosikan perhimpunan haram Bersih di Pasar Gunung Rapat, Ipoh semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz


IPOH 30 Jun - Polis menahan empat individu termasuk dua wakil rakyat pembangkang di sini hari ini kerana cuba melakukan provokasi dengan mempromosikan perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Pasar Gunung Rapat di sini hari ini.

Dua wakil rakyat yang ditahan itu ialah Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai. Kedua-dua mereka daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dua lagi lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40-an yang dipercayai ahli parti pembangkang turut ditahan pada pukul 9 pagi.

Sebelum ditahan, Ming Kai yang pada mulanya dilihat minum bersama beberapa orang penyokongnya di gerai berhampiran pasar tersebut bertindak menyarungkan baju T kuning bertulis Bersih dan mengedarkannya kepada orang ramai.

Malah tindakannya yang cuba memanjat meja makan dan memanggil orang ramai menyebabkan polis terpaksa bertindak menahan dan menghantarnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata, keempat-empat mereka ditahan mengikut Seksyen 27(5) Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 511 akta yang sama iaitu cuba mengadakan perhimpunan haram dan cuba melakukan kesalahan jenayah.

"Lebih 100 anggota dan pegawai polis beruniform berkumpul di pasar itu seawal pukul 8 pagi untuk memastikan keadaan di lokasi itu terkawal. Polis terpaksa menahan empat lelaki itu kerana mereka dilihat cuba mencetuskan provokasi dan mengedar baju T kuning Bersih.

"Bagaimanapun, keadaan dapat dikawal sepenuhnya menjelang tengah hari dan keempat-empat mereka dibebaskan sebaik sahaja selesai diambil keterangan," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment