Friday, July 1, 2011

Kereta api berkelajuan tinggi China mula perkhidmatan


BEIJING 30 Jun - Kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan dua bandar utama di China iaitu Beijing dan Shanghai memulakan operasinya secara komersial hari ini.

Landasan kereta api bernilai AS$33 bilion (RM99.7 bilion) yang telah menjalankan operasi percubaan sejak pertengahan Mei lalu, hanya akan mengambil masa kurang lima jam iaitu kurang separuh dari masa perjalanan dengan kereta api biasa dan dijangka turut menjejaskan operasi penerbangan.

Pengangkutan awam sepanjang 1,378 kilometer itu dibuka awal setahun daripada jadual asal dan ia mampu membawa lebih 80 juta penumpang setahun.

Menurut penganalisis di IHS Global Insight, Ren Xianfang, pembukaan perkhidmatan kereta api laju itu mampu membawa perubahan kepada ekonomi China pada masa depan dan mebawa limpahan ekonomi kepada kawasan-kawasan di sepanjang landasan kereta api tersebut.

"Namun, bagi industri pengangkutan udara, ia akan membawa kesan yang membinasakan," katanya.

Harga tiket sehala berharga antara 410 yuan (RM190) dan 1,750 yuan (RM816), dibandingkan dengan tiket penerbangan antara kedua-dua bandar tersebut bernilai 1,300 yuan (RM608).

Sistem pengangkutan udara yang risau akan kehilangan penumpang berikutan pembukaan perkhidmatan kereta api laju itu telah memberi potongan harga tambang sehingga 65 peratus.

Namun, pelancaran kereta api berkelajuan tinggi itu dipercayai akan memberi kesan positif kepada pengangkutan udara untuk mematuhi jadual penerbangan mereka dan tidak lagi menangguh terlalu lama seperti sebelum ini. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment