Friday, July 1, 2011

Taliban bebas wartawan Perancis

FAIL foto menunjukkan perhimpunan mendesak pembebasan Taponier dan Ghesquiere di Dewan Perbandaran Paris.
FAIL foto menunjukkan perhimpunan mendesak pembebasan Taponier dan Ghesquiere di Dewan Perbandaran Paris.
Stephane Taponier, Herve Ghesquiere nafi dipukul, dilayan dengan buruk

PARIS: Dua wartawan Perancis yang ditawan di Afghanistan sejak Disember 2009, Stephane Taponier dan Herve Ghesquiere, dibebaskan kelmarin dalam keadaan sihat.
Taponier dan Ghesquiere yang ditahan selama 547 hari, dibebaskan bersama penterjemah mereka, Reza Din, kata pihak berkuasa. Dua lagi warga Afghanistan yang ditahan bersama mereka dibebaskan lebih awal, namun tiada apa diperkatakan bagi memastikan rundingan berada di landasan betul, kata Menteri Luar Perancis, Alain Juppe.

Mereka juga menolak sebarang dakwaan bahawa mereka dipukul atau dilayan dengan buruk oleh Taliban tetapi mengakui keadaan hidup sukar sepanjang penahanan.

Wartawan yang baru dibebaskan itu tiba di Perancis semalam di lapangan terbang tentera Vilacoublay di luar ibu kota ini.

Ghesquiere, 47, dan Taponier, 46, diculik bersama tiga rakan mereka yang juga warga Afghanistan ketika mahu mencari berita berhubung pembinaan semula sebuah jalan di timur Kabul.
Mereka mulanya ditempatkan bersama tentera Perancis di Afghanistan, namun membuat keputusan berpecah untuk membuat laporan sendiri apabila ditawan.

Presiden Nicolas Sarkozy mengucapkan terima kasih ‘kepada semua orang yang mengambil bahagian dalam membebaskan tebusan’ dan memuji Presiden Afghanistan, Hamid Karzai atas pengurusan situasi tebusan berkenaan tetapi tidak memberi penjelasan lanjut.

Pegawai Perancis menegaskan tiada wang tebusan diberi sebagai tukaran pembebasan mereka.

Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon turut mengucapkan terima kasih ‘kepada lelaki dan wanita yang bekerja untuk pembebasan ini yang biasanya tidak diketahui identiti mereka dan mengambil banyak risiko.’

Ketua pertubuhan Reporters Without Borders, Jean-Francois Julliard, yang berada di Afghanistan beberapa hari lalu memberitahu stesen televisyen BFM-TV bahawa Karzai membebaskan sesetengah tawanan bagi memenuhi sebahagian tuntutan Taliban. – AP
Berita Harian Online | Taliban bebas wartawan Perancis

No comments:

Post a Comment