Sunday, July 3, 2011

Exco Selangor kena tahan

SHAH ALAM – Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu Tan Khiew ditahan tengah malam kelmarin kerana disyaki cuba menghasut orang ramai menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Ronnie ditahan dalam perjalanan pulang selepas berceramah di Serendah, Hulu Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis membawa Ronnie ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk dirakam percakapan berhubung ceramahnya yang disyaki berunsur hasutan.

“Beliau (Ronnie) bagi kerjasama sepanjang proses itu dilaksanakan mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana menghasut.

“Beliau sudah dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi tadi (semalam) selepas kita berpuas hati dengan keterangan yang diberikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap kes itu untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tun Hisan turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan ajakan menyertai perhimpunan haram kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang.

Menurutnya, siasatan menunjukkan banyak risalah diedar kepada orang ramai bertujuan mengajak hadir ke perhimpunan berkenaan.

Katanya, motif mereka (penganjur perhimpunan) sangat jelas dan orang awam perlu maklum, sesiapa sahaja boleh ditahan jika menyertai perhimpunan haram.

Ketika ditanya berhubung penahanan individu yang memakai baju kuning, Tun Hisan berkata, polis melakukan tangkapan bukan berdasarkan warna baju dipakai tetapi berdasarkan logo yang tertera pada baju yang dipakai.

“Mereka boleh pakai baju warna apa sekalipun, asalkan tidak mengandungi logo pertubuhan yang tidak berdaftar. Jika logo tidak berdaftar, pertubuhan itu tidak sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan,” katanya.

SH

No comments:

Post a Comment