Sunday, July 3, 2011

Takut sungguh kerajaan UMNO dengan Bersih 2.0

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu Tan Khiew ditahan polis kerana didakwa menghasut orang ramai menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Beliau ditahan selepas kenderaan dinaiki bersama beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dipintas sepasukan polis ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, tengah malam kelmarin.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, yang mengesahkan penahanan itu, berkata Ronnie ditahan selepas selesai berceramah dalam satu majlis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru.

Bagaimanapun, wakil rakyat DAP itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan di IPD itu pagi semalam.


“Kita tahan beliau (Ronnie) kerana memberi ceramah berunsur hasutan yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan Bersih.


“Kita bebaskan beliau selepas selesai merakam keterangan dengan jaminan polis,” katanya.

Tun Hisan berkata penahanan terhadap Ronnie dibuat mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis, manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.


Di Alor Setar, polis menahan 11 lelaki dan tiga wanita termasuk Ketua Biro Perundangan PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung ketika mengedar kenyataan akhbar di sebuah restoran berhampiran Pekan Koboi, semalam.

Semua mereka berusia 30-an hingga 50-an ditahan selepas polis menerima maklumat berhubung cubaan berkempen untuk perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Kuala Lumpur, Sabtu ini.


Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27 Akta Polis kerana didakwa cuba menyemarakkan kempen Bersih 2.0.


Menurutnya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, termasuk mendakwa mana-mana pihak yang cuba menganjurkan perhimpunan atau mengedar risalah mengenai perhimpunan yang tidak mendapat permit itu.


“Kita beri amaran keras kepada pihak berkenaan supaya berfikir sebelum membuat sesuatu (berkaitan Bersih 2.0). Polis tidak akan berkompromi kerana perbuatan terbabit menyalahi peraturan.


“Pihak kita turut merampas risalah dipercayai untuk diedar selain sepanduk untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui, di sini.


Katanya, pihaknya juga memantau semua ceramah di negeri ini dan tindakan akan diambil jika menyebut Bersih 2.0.


Sementara itu, di Kota Kinabalu, polis menahan enam lelaki dan seorang wanita berpakaian kuning yang cuba mempengaruhi orang ramai yang mengunjungi pasar pagi di Asia City, menyertai perhimpunan haram, Sabtu ini.

myMetroCeramah hasut

No comments:

Post a Comment