Tuesday, July 19, 2011

Mahkamah tolak permohonan Ashraf jadi Aleesha

KUALA TERENGGANU 18 Julai - Permohonan seorang lelaki untuk menukar statusnya dalam MyKad kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan tukar jantina, hampir dua tahun lalu ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pemohon, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, tidak menepati empat faktor yang menyokong permohonan berkenaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, empat faktor tersebut adalah kromosom, kewujudan alat kelamin wanita, kewujudan organ dalaman wanita serta memiliki fizikal atau psikologi seorang wanita.

Bagaimanapun katanya, Mohd. Ashraf Hafiz hanya memiliki satu daripada empat faktor itu iaitu fizikal dan psikologi seorang wanita sekali gus menyukarkan mahkamah untuk menerima permohonan tersebut.

''Lagipun, mengikut undang-undang negara ini, tiada peruntukan yang membenarkan mana-mana pemohon untuk tukar atau ubah status gender seks mereka dalam dalam MyKad dan dalam dokumen pengenalan diri lain pemohon,'' katanya.

Mohd. Ashraf Hafiz yang mengemukakan permohonan untuk menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz itu bagaimanapun tidak hadir, sebaliknya hanya diwakili oleh peguamnya, Horley Isaacs.

Dia membuat permohonan itu pada 25 Mei lalu selepas melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak daripada segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai.

Hakim Mohd. Yazid berkata, beliau juga bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Aida Adha Abu Bakar yang mewakili Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bahawa permohonan tersebut tidak wajar diluluskan kerana pemohon bukanlah wanita tulen.

Katanya, walaupun pemohon telah menjalani pembedahan tukar jantina, perkara itu tidak boleh dijadikan hujah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah.

Selain itu, menurut beliau, tiada laporan lengkap daripada pihak hospital bersabit pembedahan jantina yang dibuat terhadap Mohd. Ashraf Hafiz, dan tiada seorang pun doktor dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang prosiding.

Sementara itu, Isaacs ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah buat masa ini.

''Berkenaan rayuan pula, terpulanglah kepada anak guam saya sama ada hendak buat (rayuan) atau tidak selepas ini,'' ujar beliau.

Memetik laporan akhbar pada 25 Mei lalu, Mohd. Ashraf Hafiz berhasrat menukar nama bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran memandangkan dia lebih cenderung untuk menjadi seorang wanita sejak kecil.

Pemohon yang juga pemegang diploma dalam jurusan berkaitan perubatan itu dikatakan turut mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya untuk berbuat demikian.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

No comments:

Post a Comment