Tuesday, July 19, 2011

Pemuda didakwa bunuh ibu kandung

KUANTAN - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah dalam Mahkamah Tinggi semalam atas tuduhan menetak ibunya menggunakan kapak hingga mati dalam satu kejadian di Felda Chini Timur 1, November tahun lalu.

Tertuduh, Zubir Halim, 24, membuat pengakuan terbabit dan minta dibicarakan selepas memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mariana Yahya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian ibunya, Che Wa Isa, 58, di sebuah rumah bernombor 144, Felda Chini Timur 1, Pekan, kira-kira jam 10.30 malam, pada 8 November tahun lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mariana menetapkan tarikh perbicaraan kes terbabit pada 22 hingga 26 Ogos depan.

Tertuduh dipercayai menetak kepala ibunya menggunakan sebilah kapak sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada wanita itu gara-gara satu perselisihan faham.

Mangsa meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Klinik Kesihatan Felda Chini.

Terdahulu, tertuduh yang tidak bekerja dipercayai sedang menuntut ilmu agama dengan seorang penduduk di Felda terbabit.

Penahanan Zubir kira-kira jam 2 pagi pada 9 November tahun lalu turut membawa kepada penemuan senjata yang digunakan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala tertuduh diwakili peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.SH

No comments:

Post a Comment