Tuesday, July 19, 2011

Pas hilang mutiara berharga



KUALA LUMPUR – Jenazah Ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali, 54, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat kira-kira jam 11.10 pagi semalam dan dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Solat Jenazah Allahyarham diimamkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Al-Aqram.

Selepas selesai majlis pengebumian, Hadi menyifatkan Pas kehilangan seorang pejuang kerana Allahyarhamah yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan Pas sentiasa turun padang membantu segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Beliau telah melaksanakan khidmat sebaik-baiknya kepada rakyat dan parti, untuk maklumat, beliau sebenarnya menyambung perjuangan ayahnya yang juga Pengerusi Muzakarah Ulama dalam penubuhan Pas pada tahun 1951,” katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Dr Lo’Lo’ adalah Ahli Parlimen yang cemerlang dalam perkhidmatannya.

“Kehilangan amat dirasai kerana beliau membuat banyak sumbangannya kepada kita semua,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula menyifatkan Dr Lo’Lo ’ seorang gigih kerana sanggup turun padang berjumpa dengan rakyat walaupun menderita selama ini.
Sementara itu, ADUN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada Pas dan Pakatan Rakyat amnya.

Menurutnya, walaupun Allahyarham kelihatan uzur sejak akhir-akhir ini namun semangat beliau dalam parti khususnya memperjuangkan Islam dan keadilan rakyat tidak pernah berhenti sehingga ke akhir hayatnya.

Turut hadir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil., Naib Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Yusof.

Dr Lo’ Lo’ meninggal dunia pada 10.13 malam, di Hospital Selayang di Kuala Lumpur akibat penyakit barah paru-paru yang dihadapinya sejak akhir Julai 2009.
SH

No comments:

Post a Comment