Thursday, August 11, 2011

Arroyo tak boleh keluar negara

Kena sekatan hadapi kes jenayah 
MANILA: Kerajaan Filipina menyenaraikan bekas Presiden Gloria Macapagal Arroyo dalam pemerhatian imigresen bagi menghalangnya berkunjung ke luar negara supaya tidak dapat mengelak daripada siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan penipuan pilihan raya sepanjang sembilan tahun kepimpinannya.

Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima mengarahkan biro imigresen meletakkan Arroyo, yang juga anggota Dewan Rakyat Kongres, dalam senarai pemerhatian selama 60 hari bagi memastikan penyertaannya dalam siasatan jenayah.
Jabatan Kehakiman sedang menyiasat tiga aduan berhubung penyalahgunaan dana awam oleh Arroyo. Ada juga siasatan terhadap dakwaan bahawa Arroyo memanipulasi pilihan raya presiden 2004. 

De Lima mengarahkan Arroyo dimasukkan dalam senarai pemerhatian itu. Mereka dalam senarai itu tidak dibenarkan meninggalkan negara itu kecuali mereka mendapat pelepasan kerajaan. 

Suami Arroyo, Jose Miguel, turut dimasukkan dalam senarai minggu lalu selepas seorang ahli perniagaan memberitahu satu siasatan Senat bahawa beliau memiliki helikopter yang dijual seperti baru kepada polis. 

Jose Miguel menafikan menjadi pemilik helikopter terbabit. Pendakwa raya kerajaan sedang meneliti kes Arroyo sebelum memutuskan sama ada mereka mempunyai cukup bukti bagi pendakwaan itu. 
Arroyo turut berdepan satu aduan jenayah berasingan mendakwa beliau tidak memasukkan 72 juta peso (RM5.11 juta) dalam cukai jualan sebuah lot tanah kerajaan dan pembahagian lebih 550 juta peso (RM39.08 juta) dalam satu dana pekerja luar negara dan 728 juta peso (RM51.11 juta) dalam dana baja negara untuk menaikkan kempen pilihan raya 2004. 

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman maksimum penjara 40 tahun. – AP/Reuters bharian

No comments:

Post a Comment